fbpx
Gambar tular kain rentang di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pengetua, guru bukan manusia kebal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PERISTIWA kain rentang di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Ne­geri Sembilan baru-baru ini harus membuka mata semua pihak bahawa golo­ngan pendidik juga memiliki pe­rasaan.

Dalam kesungguhan dan keikhlasan golongan ini melunaskan tanggungjawab sebagai pendidik anak bangsa, pengetua dan guru juga insan yang mempunyai hati dan perasaan.

Mendambakan setiap penge­tua atau guru adalah kebal tidak lut terhadap apa sahaja isu yang membelenggu agak keterlaluan kerana sifat manusia tidak boleh difungsikan seumpama mesin.

Kisah kain rentang itu juga harus menjadi titik permulaan kepada usaha untuk menggembleng mekanisme yang paling komprehensif dalam memahami indeks keharmonian di setiap sekolah.

Bukan sahaja hubungan guru, murid dan ibu bapa adalah pen­ting, malah hubungan sesama warga pendidik juga penting. Keharmonian adalah elemen terpenting dalam mencapai maksud sesebuah organisasi dan sekolah amat memerlukan itu untuk mencapai objektif pendidikannya buat masyarakat setempat.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan mengakui isu kain rentang agak mengejutkan.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, beliau berkata, keharmonian pengetua dan guru adalah sesuatu yang mustahak demi kepentingan pelajar sekolah.

“Sebaiknya ada perbincangan berhubung isu yang timbul bagi mengelak sebarang kegelisahan.Sekolah tempat untuk pendidikan. Sebarang konflik tidak sepatutnya diperbesar-besarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau memberitahu, meski­pun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak boleh mencampuri urusan sekolah, namun persatuan itu boleh memainkan peranan jika mengetahui berlaku konflik dalaman di sekolah.

Jelasnya, PIBG boleh membawa perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya usaha untuk menyelesaikannya dapat dilakukan demi kepentingan pelajar sekolah.

“Bagaimanapun harus ada perbincangan dalaman terlebih dahulu antara pihak terlibat. PIBG boleh memainkan peranan sebagai pendamai,” ujarnya.

Sementara itu, seorang guru sekolah di Johor yang mahu dikenali sebagai Nan, 45, mendakwa, isu melibatkan pengetua dan guru turut berlaku di sekolah lain, cuma ia tidak ‘meletup’.

Beliau berpandangan perlu ada satu mekanisme untuk mengenal pasti sekolah yang berdepan konflik sedemikian kerana ia ibarat bom jangka yang berisiko untuk meledak.

“Ada sekolah lain yang turut alami isu sama. Bagaimanapun keadaan yang berlaku tidak sampai menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Ia melibatkan soal hati apabila rasa tidak seronok bekerja. Ini yang menyebabkan sebilangan warga pendidik berasa bekerja dalam tekanan,” katanya.

Bagi guru sekolah di Selangor, Yati, 49, pula, konflik pengetua dan guru sekolah boleh diben­dung sekiranya semua pihak terlibat memahami peranan ma­sing-masing dengan baik.

“Sikap tolak ansur dan memahami perlu ada kerana tanpanya konflik boleh melanda sekali gus mengundang suasana tidak harmoni termasuk ‘berpuak-puak’ dalam kalangan warga pendidik.

“Masalah ini berlaku di sekolah lain, cumanya tidak gempar. Semua bekerja di bawah tekanan dan ada yang tidak mampu ‘telan’ sebab itu ada yang bersara awal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN