fbpx

Mahkamah: Hakim tarik diri dengar rayuan saman Azeez, Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez (kiri), Guan Eng.

PUTRAJAYA – Seorang hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar rayuan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kes samannya ke atas Lim Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim bersidang hari ini berkata, beliau menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana mempunyai kaitan dengan pihak-pihak dalam saman tersebut sewaktu bertindak sebagai pengamal undang-undang.

Hakim itu memohon maaf kerana memaklumkan perkara tersebut sejurus mahkamah mula bersidang dan menjelaskan beliau menyedari perkara berkenaan ketika membaca dokumen rayuan semalam.

Sehubungan itu, beliau menangguhkan rayuan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Rayuan itu akan didengar hakim lain yang akan mengetuai panel bersidang.

Abdul Azeez selaku perayu diwakili peguam Porres Royan dan Craig Ho manakala N. Mureli dan Philips Lim mewakili Guan Eng selaku responden.

Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Abdul Azeez berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 10 Disember 2020 yang menolak saman fitnah beliau terhadap Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Timbalan Pendaftar L. Umma Devi yang membacakan keputusan itu dalam kamar bagi pihak Hakim Datuk Rosilah Yop turut memerintahkan bekas Pengerusi Tabung Haji itu membayar kos RM50,000 kepada Guan Eng.

Pihak media ketika itu dimaklumkan, saman tersebut ditolak atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti dalam tuntutan samannya.

Abdul Azeez memfailkan saman fitnah terhadap Guan Eng pada 2018, yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada sidang media di Pulau Pinang pada 28 Februari 2018, ketika Guan Eng masih memegang jawatan Ketua Menteri.

Dalam samannya, Abdul Azeez mendakwa Guan Eng mengaitkan beliau dengan bayaran berjumlah RM3 juta sebagai bayaran perundingan kepada pemaju bagi projek itu.

Beliau mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI