fbpx

Liz Truss pilih tiga menteri kanan bukan golongan kulit putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Truss (dua dari kiri) dan barisan menteri kanannya, Kwarteng (paling kiri), Cleverly (dua dari kanan) dan Braverman (paling kanan). - Metro UK

LONDON – Perdana Menteri Britain yang baharu, Liz Truss memperkenalkan barisan Kabinetnya dengan melantik menteri-menteri kanan yang bukan daripada kalangan orang berkulit putih.

Tiga daripada menteri paling kanan Truss merupakan sekutu rapatnya, iaitu Kwasi Kwarteng sebagai Canselor, James Cleverly sebagai Setiausaha Hal Ehwal Luar dan Suella Braverman sebagai Setiausaha Dalam Negeri.

Kwarteng, yang merupakan anak kepada seorang imigran Ghana ialah Canselor berkulit hitam pertama Britain, manakala Cleverly ialah pegawai tentera berbangsa campuran. Ibu bapa Braverman pula berasal dari India, dengan masing-masing berhijrah ke Britain dari Kenya dan  Mauritius.

Sementara itu, jawatan Timbalan Perdana Menteri dipegang oleh Therese Coffey yang turut dilantik menjadi Setiausaha Kesihatan, kata Downing Street dalam pengumuman Kabinet tersebut.

Truss bertemu dengan ketiga-tiga menteri kanannya pagi semalam sebelum mesyuarat sulung Kabinet pada hari pertama beliau memasuki pejabat.

Mereka berdepan dengan beberapa isu sukar terutamanya kadar inflasi paling tinggi dalam beberapa dekad serta bagaimana untuk menangani kenaikan bil tenaga yang dijangka melonjak 80 peratus pada bulan depan.

Meskipun Bank of England meramalkan Britain akan mengalami kemelesetan ekonomi hujung tahun ini, Truss percaya beliau dapat mengharungi cabaran tersebut.

Beliau ketika ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri Britain kelmarin berjanji untuk membina semula ekonomi dan membantu rakyat mengharungi gelombang ekonomi dan ketidaktentuan tenaga, lapor agensi berita United Press International.

“Kita tidak seharusnya gentar dengan cabaran yang dihadapi walaupun ia sekuat ribut taufan. Saya tahu rakyat Britain kuat,” kata beliau di luar Downing Street di pusat bandar London, kelmarin.

Dalam ucapan selama empat minit itu, Truss, 47, turut menggariskan keutamaan-keutamaan pertama beliau sebagai Perdana Menteri dengan memberi fokus kepada bidang ekonomi, krisis tenaga serta akses penjagaan kesihatan.

Beliau selain itu berikrar untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan pemotongan cukai serta pembaharuan yang diterajui perniagaan bagi menjadikan Britain berkembang, membangun dan maju. – AFP/AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI