fbpx

APMM tahan dua bot kenka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua bot kenka yang ditahan APMM di Kuala Kurau semalam.

KUALA KURAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan dua buah bot kenka di kedudukan 7.7 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau kerana melanggar syarat lesen pada sekitar pukul 11.05 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan operasi APMM telah mengesan dua bot sedang menunda pukat dan pihaknya telah merapati bot berkenaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot terbabit menemukan lima nelayan tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 68 tahun.

“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati pasangan bot kenka terbabit bukanlah pasangan seperti yang dinyatakan dalam lesen dan ia tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd. Najhan berkata, bot terbabit turut menunda pukat di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

“APMM menasihatkan kepada semua komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi kesejahteraan serta keselamatan bersama,” katanya.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI