fbpx

Sindiket edar dadah RM6.4 juta tumpas, rumah sewa jadi transit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan dadah jenis ganja seberat 78.8 kilogram yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, hari ini. /FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Polis berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah jenis pil kuda, erimin 5 dan ganja yang bernilai RM6.4 juta selepas menahan seorang penganggur semasa suspek sedang memandu sebuah kereta di Jalan Pengkalan Chepa di sini pada 29 Ogos lalu.

Lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah itu ditahan kira-kira pukul 2.40 petang selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bukit Aman menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemeriksaan di dalam kereta itu telah menjumpai satu beg plastik berwarna hijau di atas tempat duduk bahagian penumpang hadapan.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam plastik itu telah menemui sebanyak tiga bungkusan berisi 42,000 pil kuda dan dua ikatan foil mengandungi 400 biji pil jenis erimin 5.

“Selepas soal siasat dijalankan ke atas suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu, polis terus menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian di sini pada hari yang sama.

“Pemeriksaan di dalam rumah yang dipercayai disewa suspek sebagai transit telah menjumpai sebanyak 100 bungkusan berisi 582,000 pil kuda dan 78.8 kilogram dadah jenis ganja. Jumlah kesemua dadah-dadah yang dirampas di dalam kereta dan rumah itu dianggarkan bernilai RM6.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, siasatan awal mendapati, kesemua dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran sebelum dipercayai dijual di pasaran tempatan dan Lembah Klang.

Katanya, rampasan kesemua dadah-dadah itu turut membawa kepada penahanan empat lagi suspek berusia 27 hingga 39 tahun dengan tiga daripada mereka di Kota Bharu iaitu di Kampung Tapang, Pengkalan Chepa, Bandar Baru Satelit Pasir Tumboh manakala seorang lagi di Seri Kembangan, Selangor.

“Siasatan mendapati, keempat-empat suspek merupakan ahli sindiket pengedaran dadah dan mempunyai kaitan dengan dadah-dadah bernilai RM6.4 juta yang dirampas.

“Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha Y15, tiga buah kereta jenis Perodua Myvi, Proton Saga dan Perodua Kelisa, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire selain seutas jam tangan berjenama mewah dalam kesemua serbuan yang telah dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI