PUTRAJAYA – Bekalan telur ayam yang kurang sejak beberapa minggu lalu mengakibatkan pengguna termasuk peniaga terpaksa membeli bahan tersebut dalam kuantiti yang sedikit selain perlu berulang-alik ke kedai berlainan.
Seorang peniaga martabak, Noraini Ishak, 45, berkata, operasi di dua buah gerai miliknya memerlukan kira-kira 3,000 biji telur sehari dan penyusutan bekalan akan merencatkan operasi.
“Sejak beberapa minggu lalu kami perasan bekalan telur ayam sudah sukar didapati hingga terpaksa pergi ke beberapa buah pasar untuk membeli.
“Antara alasan peniaga ialah mereka tidak dapat bekalan yang cukup ekoran ketidakstabilan harga dan bencana banjir yang menyebabkan ayam terpaksa disembelih lebih awal,” katanya.
Menurut Noraini, masalah itu menyebabkan mereka terpaksa menukar gred telur dalam penyediaan martabak hingga mengubah tekstur dan rasa makanan itu dan mendapat rungutan daripada pelanggan.
Tambahnya, penggunaan telur gred lain akan mengakibatkannya terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk minyak kenderaan dan lain-lain ekoran kekerapan pergi ke pasar selain membazir masa kerana gerai dibuka lewat daripada kebiasaan.
Sementara itu, seorang peniaga kuih-muih, Nur Izzati Baharom, 33, berkata, setakat ini bekalan telur masih mudah diperoleh memandangkan dia hanya menggunakan bahan tersebut dalam jumlah yang sedikit.
“Saya berniaga secara kecil-kecilan jadi masih belum terkesan dengan keputusan bekalan telur seperti yang didakwa. Saya harap masalah ini segera diatasi kerana lama-kelamaan saya mungkin akan terkesan juga,” katanya.














