fbpx

Penduduk cemas Kampung Iboi dilanda kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan rumah dan premis perniagaan dilanda banjir selepas Sungai Kupang melimpah pada petang tadi.

BALING – Penduduk Kampung Iboi dan kawasan berhampiran cemas apabila air Sungai Kupang mengalir deras dan melimpah selepas berlaku hujan lebat pada petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan beberapa rumah terletak berhampiran sungai dinaiki air.

Selain itu, air sungai juga didapati telah melepasi Jambatan Bailey di Kampung Iboi dan struktur jambatan tersebut dikatakan sudah berganjak sedikit dari kedudukan asal.

Jambatan tersebut dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan jambatan konkrit yang runtuh akibat aliran puing pada 4 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah berkata, air dari Gunung Inas itu mengalir deras sehingga melimpah ke rumah penduduk selepas berlaku hujan lebat di kawasan itu serta di puncak gunung berkenaan.

“Saya terima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan kejadian dan mendapati air sungai memang mengalir deras dan ada rumah yang sudah dinaiki air.

“Jambatan Bailey juga dikatakan telah berganjak sedikit yang mana arus deras itu turut membawa sedikit batang pokok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ada penduduk yang menghubunginya memaklumkan rumah sudah terkepung dengan banjir dan dia memintanya segera berpindah.

“Kira-kira 19 keluarga yang tinggal berhampiran sungai iaitu antaranya di Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Padang Empang telah diminta untuk berpindah ke dewan.

“Hujan sudah reda pada masa ini dan banjir pun semakin surut, namun penduduk diminta berpindah sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang berlaku hujan lagi,” ujarnya.

Tambahnya, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sudah berada di lokasi sejak petang tadi.

Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, tiga sekeluarga maut manakala lebih 1,000 rumah terjejas dalam kejadian aliran puing dan banjir lumpur.

Kawasan sama sekali lagi dilanda banjir pada 28 Julai lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI