fbpx

Rexy Manaiky fokus tugas raih emas Olimpik sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY dan barisan kejurulatihan sedia melakukan kerja lebih keras bagi memastikan BAM dapat melahirkan lebih ramai pemain bagi memburu emas Olimpik pertama negara.

SELEPAS membimbing beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia bulan lalu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mula beri perhatian terhadap sasaran seterusnya.

Pengendali dari Indonesia itu berharap kejayaan tersebut mampu menjadi pencetus kepada pemain-pemain Malaysia untuk merealisasikan hasrat memenangi pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Justeru, beliau dan barisan kejurulatihan skuad badminton kebangsaan sedia untuk melakukan kerja lebih keras bagi memastikan BAM dapat melahirkan lebih ramai pemain yang mampu memikul tanggungjawab besar tersebut.

“Cabaran seterusnya adalah untuk menghasilkan sesuatu yang lebih besar dan saya perlu mencabar diri sendiri. Memandangkan Aaron-Wooi Yik sudah ada gelaran dunia, jadi tugas kami adalah untuk tidak beri tekanan kepada mereka.

“Oleh itu, kami perlu hasilkan lebih ramai beregu seperti mereka agar semua pemain dapat membantu antara satu sama lain. Cabaran besar selepas ini sudah tentu untuk memenangi pingat emas Olimpik di Paris,” kata Rexy.

Beliau yang merupakan juara dunia 1995 percaya, pemain-pemain kebangsaan lain pas­tinya mahu menjadikan kejayaan Aaron-Wooi Yik sebagai inspirasi dalam usaha mengejar impian.

“Selepas Aaron-Wooi Yik menang, saya yakin pemain-pemain lain turut dahagakan kejayaan seperti itu. Saya akui, tugas saya lebih mencabar selepas ini bagi melahirkan gandingan seiras Aaron-Wooi Yik.

“Kejayaan kita sebelum ini benar-benar beri inspirasi kepada semua pemain kerana sejak Kejohanan Badminton Dunia diper­kenalkan pada 1945, ini adalah kali pertama Malaysia memiliki juara dunia,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia sudah pun menamatkan penantian juara dunia, namun masih ada tugas yang belum selesai bagi merealisasikan hasrat memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI