fbpx

‘Personal shopper’ ditahan, polis rampas ketamin RM611,515

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fakhruddin (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas menerusi serbuan di Petaling Jaya dan Cheras, pada Ahad lalu.

PETALING JAYA – Seorang ‘personal shopper’ ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah sebelum polis berjaya merampas ketamin seberat 11.5 kilogram (kg) bernilai RM611,515 menerusi serbuan berasingan, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu ditahan dekat Jalan Gasing, Seksyen 10, di sini pada pukul 3.30 petang.

“Pemeriksaan di tempat duduk belakang kereta turut menemui sebuah beg yang mempunyai 3 kg serbuk putih dadah disyaki ketamin.

“Susulan itu, polis menjalankan serbuan di rumah sewa lelaki warga tempatan berusia 34 tahun berkenaan di Jalan Persiaran You City, Cheras pada pukul 5.18 petang” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Menurut Fakhruddin, pemeriksaan di rumah terbabit menemui tujuh peket plastik berwarna merah serta hitam mengandungi ketamin seberat 8.5 kg di atas meja ruang tamu kediaman berkenaan menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM611,515.

Jelasnya, polis turut merampas satu unit mesin pembungkusan vakum, dua alat penimbang, sebuah bekas acuan plastik, alat penapis dan bungkusan plastik disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

“Kita sedang menyiasat sama ada suspek bergerak secara solo atau berkumpulan susulan suspek mempunyai rekod pengedaran dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI