SECARA umum, hampir separuh kematian akibat kanser dikaitkan dengan faktor risiko yang boleh dicegah iaitu merokok, pengambilan alkohol dan indeks jisim badan yang tinggi.
Berdasarkan satu penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet mendapati, sebanyak 44.4 peratus daripada semua kematian akibat kanser dan 42 peratus orang sihat boleh dikaitkan dengan faktor risiko boleh dicegah pada 2019.
“Untuk pengetahuan, kajian ini mewakili usaha terbesar setakat ini untuk menentukan beban global kanser yang dikaitkan dengan faktor risiko.
“Kajian ini menyumbang kepada bukti untuk menunjukkan faktor risiko terhadap kanser tertentu di peringkat nasional, antarabangsa dan juga global,” kata Pengarah Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan di Universiti Washington, Dr. Chris Murray yang menulis kajian tersebut bersama rakan-rakannya.
Kajian yang dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates itu menganalisis hubungan antara faktor risiko dan kanser menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia menggunakan data daripada projek Beban Penyakit Global Institut Metrik Kesihatan dan Penilaian.
Penyelidik lebih menumpukan perhatian pada kematian kerana kanser dari 2010 hingga 2019 di 204 negara dan meneliti 23 jenis kanser dan 34 faktor risiko.
Kanser utama yang menyebabkan kematian dan boleh dikaitkan dengan faktor risiko di seluruh dunia pada 2019 adalah kanser trakea, bronkus dan paru-paru untuk lelaki dan wanita.
Data juga menunjukkan bahawa kematian akibat kanser yang dikaitkan dengan faktor risiko semakin meningkat di seluruh dunia sebanyak 20.4 peratus dari 2010 hingga 2019.
Di peringkat global, pada 2019, lima wilayah yang mencatatkan kadar kematian yang dikaitkan dengan faktor risiko ini adalah Eropah Tengah, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Latin dan Eropah Barat.
Penemuan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar beban kanser di seluruh dunia berpotensi untuk dicegah melalui intervensi.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan pendedahan kepada faktor risiko kanser.
“Oleh itu, usaha pengurangan risiko kanser mesti digabungkan dengan strategi kawalan kanser yang komprehensif.
“Ia merangkumi usaha untuk menyokong diagnosis awal dan rawatan yang berkesan,” kata Dr. William Dahut yang merupakan Ketua Pegawai Saintifik untuk Persatuan Kanser Amerika.














