fbpx

230,000 ahli NUTP kini dilindungi skim kemalangan Takaful percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin (dua kanan) bergambar selepas menandatangani MoU di antara NUTP dengan Takaful Malaysia di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Lebih 230,000 ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kini dilindungi skim perlindungan Takaful kemalangan peribadi secara percuma sebanyak RM100,000 bermula 1 September ini.

Perlindungan terbaharu itu diperolehi hasil kerjasama dan memorandum persefahaman (MoU) antara NUTP dengan Syarikat Takaful Malaysia (Takaful Malaysia) yang dimeterai hari ini.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya memperuntukkan RM2.3 juta setahun bagi bayaran premium skim berkenaan sekali gus memberi perlindungan kepada ahlinya sekiranya berlaku kemalangan.

Beliau berkata, sebelum ini, NUTP menyediakan pelbagai skim insuran bagi perlindungan perubatan dan kemalangan namun skim kali ini ditawarkan kepada ahli secara percuma.

“Setiap ahli layak mendapat kemudahan perlindungan ini dengan hanya bayaran yuran keahlian kepada NUTP sebanyak RM10 sebulan.

“Kita berharap skim ini dapat menarik minat guru-guru lain untuk menyertai NUTP dan kami menyasarkan untuk meningkatkan keahlian kepada 300,000 ahli pada masa depan daripada keseluruhan 430,000 guru di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU antara NUTP dan Takaful Am Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Am Sdn. Bhd., Mohamed Sabri Ramli berkata, pelan perlindungan itu secara tidak langsung dapat membantu ahli NUTP meringankan beban keluarga atau ahli keluarga mereka yang ditimpa kemalangan.

“Atas usahasama perniagaan yang baik antara NUTP dan Takaful Malaysia, kita juga mengumumkan perlindungan tambahan (produk GA) yang ditawarkan kepada semua ahli NUTP yang turut merangkumi manfaat kemalangan diri (Takaful PA),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI