fbpx

Zainal Arif rangkul gelaran Mr. Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINAL Arif (kiri) memperagakan badannya sebelum menerima trofi Mr. Malaysia daripada Mohd. Zayad (tengah) pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan 2022 di Alor Setar semalam.

PETALING JAYA – Sikap tidak pernah kenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil buat Zainal Arif Zainal Ariffin apabila dinobatkan selaku Juara Antara Juara Mr. Malaysia 2022 pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan 2022 di Alor Setar, Kedah semalam.

Zainal yang bertanding dalam kategori 75 hingga 80 kilogram (kg) menewaskan barisan juara bagi kategori lain sekali gus meraih gelaran Mr. Malaysia buat kali pertama sepanjang kariernya.

Jelasnya, ini adalah kejohanan keempat yang disertainya tahun ini selepas melalui detik sukar pada Sukan Sea Hanoi 2021 di Vietnam pada Mei lalu yang menyaksikannya meraih pingat gangsa.

“Saya dijangkiti Covid-19 sebelum Sukan SEA Hanoi. Jadi agak sukar untuk saya meneruskan latihan ketika itu. Selama dua minggu saya sekadar berehat di rumah dan hanya melakukan latihan ringan,” katanya.

“Saya tak dapat jalani latihan di gimnasium tetapi masih berjaya meraih gangsa,” katanya yang juga seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Zainal juga menyertai Kejohanan Asia yang menyaksikannya meraih tempat kelima selain mempertahankan Mr. ATM buat kali ketujuh berturut-turut pada tahun ini.

Mengulas kejayaan memegang status Mr Malaysia, Zainal langsung tidak menjangka dapat memenanginya kerana berdepan saingan sukar daripada pesaing lain selain mengalami kecederaan pada bahagian betis kanan.

“Hampir semua pesaing saya juga adalah atlet kebangsaan, sudah pasti saya amat berbangga dapat memenangi gelaran Mr. Malaysia kerana bukan mudah untuk meraih gelaran itu.

“Saya tak pernah berhenti menjalani latihan walapun berdepan kecederaan di betis kanan sebelum bermulanya Mr. Malaysia. Kejayaan ini saya tujukan kepada majikan saya, ATM dan TUDM selain keluarga serta jurulatih,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan Kedah Darulaman, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail yang juga Penasihat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr. Malaysia bersyukur dapat menganjurkan kejohanan itu dengan baik dan lancar.

“Saya tidak mahu menyatakan ia mungkin terbaik dalam sejarah penganjuran tetapi setakat ini kami menerima pujian daripada negeri-negeri yang bertanding.

“Untuk atlet Kedah, ada yang dapat memasuki peringkat final tetapi tidak menang. Apapun saya berpuas hati dengan pencapaian mereka,” ujarnya.

Penganjuran Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-51 itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 158 peserta mengambil bahagian menjadikan jumlah penyertaan paling terbesar sejak 10 tahun kebelakangan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI