fbpx
HAFIZY AKMAL pelajar jurusan farmasi di UiTM Puncak Alam juga merupakan atlet bina badan dan meminati bidang keusahawanan.

K2

Siswa farmasi ‘badan cantik’ berjinak-jinak jadi usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN masih bergelar seorang mahasiswa, Hafizy Akmal Hamzah, 23, amat meminati bidang keusahawanan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Farmasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor itu kini telah mengorak langkah untuk menjadi usahawan muda berjaya.

“Saya bersama empat lagi rakan telah menubuhkan The Pharma Merch yang menyediakan keperluan pelajar farmasi seperti kot makmal dan buku rujukan serta baju untuk fakulti dan UiTM.

“Selain itu, saya terlibat dalam bisnes keluarga sebagai pengarah di syarikat GG Pools Construction,” katanya.

Bagi Hafizy Akmal, bapanya, Hamzah Ahmad Ali adalah sumber inspirasi utamanya.

Sebagai Pengasas GG Pools Construction, bapanya membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai walaupun bermula daripada kosong.

“Bapa selalu kata, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Tapi bagi saya, bapa bukan sekadar pecahkan ruyung, malah dia bina kolam sekali,” ujarnya.

Selain bapanya, Hafizy Akmal juga terinspirasi dengan tokoh farmasi seperti Dr. Mohammad Sharif Abu Hassan dan Rph Hendrawati Sapuan yang membuktikan betapa pentingnya ilmu serta dedikasi dalam bidang profesional.

Bercerita lebih lanjut, anak kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu mula menceburi bidang keusahawanan ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.

Ketika itu, dia telah menjual produk ‘choco jar’ kepada rakan-rakan sekolah dan guru.

Kini, dia meneruskan minatnya dalam bidang usahawan dengan membina jenama sendiri, The Pharma Merch.

Dia juga menyimpan hasrat untuk menjadi pemilik syarikat farmaseutikal dan kosmetik pada usia muda.

“Saya juga gemar membaca buku tentang bisnes dan pembangunan peribadi.

“Saya percaya pengetahuan adalah sesuatu yang penting untuk perniagaan. Jadi, saya perlu banyak membaca untuk menambah pengetahuan dalam perniagaan,” jelasnya yang juga merupakan atlet bina badan.

Untuk makluman, Hafizy Akmal merupakan ahli aktif di Advance Fitness Gym Melaka dan telah menyertai pertandingan seperti Jelajah Fit Malaysia 2023 dan NPC Global Classic 2023.

Dia juga sempat menyertai pertandingan badan cantik, Mr. Enrich 2024 dan berada dalam kelompok 40 terbaik daripada 184 peserta.

Hafizy Akmal memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Tengkera 1 sebelum melanjutkan pelajaran ke Malacca High School dan MRSM Tun Ghafar Baba (TGB).

Prestasi akademiknya cemerlang dengan keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, 9A (Pentaksiran Tingkatan 3) dan 7A+ (Sijil Pelajaran Malaysia).

Kejayaannya berterusan di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dengan purata nilai gred (CGPA) 3.71. Sebagai pelajar, Hafizy Akmal bijak mengimbangi antara akademik dengan aktiviti luar.

“Pendidikan itu asas, tapi pengalaman luar kelas yang melengkapkan kita sebagai manusia.

“Sejak sekolah, saya aktif dalam kepimpinan dan memegang jawatan seperti ketua pengawas dan presiden kelab astronomi di sekolah.

“Di universiti, saya menjadi Ketua Pelajar Rx19, Exco Keusahawanan dan Inovasi Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam, selain Presiden Badan Kebajikan Kolej Ungku Aziz, Universiti Malaya. Setiap jawatan mengajar saya tentang tanggungjawab dan pengurusan krisis,” katanya.

Selain itu, dia aktif dalam aktiviti sukarelawan dengan menjadi pengarah komunikasi sebuah badan bukan kerajaan, MYGO.Nation.

Salah satu inisiatif yang dekat di hatinya adalah program kesedaran penjagaan kesihatan untuk komuniti Orang Asli di Hulu Kuang, Kuang, Selangor.

“Kerja sukarelawan memberi saya peluang untuk menyumbang sesuatu yang bermakna,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hafizy Akmal ingin membina legasi dan berjaya dalam apa juga yang dilakukan pada masa depan. Dia ingin membuktikan bahawa kejayaan adalah hasil usaha keras dan impian yang jelas.

“Saya mahu menjadi inspirasi kepada orang lain seperti mana idola saya memberi inspirasi kepada saya. Kalau saya boleh, takkan orang lain tak boleh,” katanya dengan penuh keyakinan.

Hafizy Akmal bukan sekadar seorang pemuda bercita-cita besar, malah dia membuktikan bahawa setiap kejayaan bermula dengan kerja keras dan kegigihan.

Setiap langkah Hafizy Akmal bukan sahaja merintis jalan untuk dirinya, malah membina ‘jambatan’ untuk masyarakat sekeliling mencipta kejayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN