fbpx

Pesara tentera benci komunis sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD. NONASI menunjukkan tumit kakinya yang cacat selepas terkena jerangkap samar yang dipasang komunis ketika berkhidmat dalam ATM.

KLUANG – Perasaan marah dan benci kepada pengganas komunis akan dibawa sampai mati.

Itulah yang terbuku di hati seorang pesara tentera selepas dirinya menjadi cacat seumur hidup akibat serangan komunis.

Bekas anggota Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), Md. Nonasi Selamat, 69, berkata, dia sudah menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat koperal selepas berkhidmat selama 21 tahun, kira-kira 29 tahun lalu.

Menceritakan detik hitam yang berlaku pada dirinya, Md. Nonasi berkata, tarikh 27 Mei 1975 kira-kira pukul 4 petang masih segar dalam ingatan kerana jerangkap samar yang ditanam anggota pengganas menyebabkan sebahagian tumit kakinya hilang.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia bersama enam anggota seksyen menjalankan tugas rondaan untuk menjejaki pengganas komunis yang dikatakan membuat penempatan di sekitar perkampungan Orang Asli Alai di Perak.

“Pada hari keenam, akhirnya kami menemui pondok didiami komunis dipercayai sudah dua minggu ditinggalkan berdasarkan tarikh terakhir kalender dikoyakkan di situ.

“Ketika membuat penggeledahan, satu tembakan dilepaskan musuh tidak jauh dari situ.

“Kami terus mengejar ke arah datangnya bunyi letupan itu tanpa menyedari ia satu perangkap agar kami masuk ke kawasan jerangkap samar,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, dia yang berada pa­ling belakang terpijak jerangkap samar walaupun berjalan menggunakan taktik peperangan iaitu mengikut setiap kesan tapak kaki rakan di hadapan.

Menurut Md. Nonasi, sebaik bom dipijak itu meletup, dirinya terpelanting.

“Sebaik mengetahui saya terkena jerangkap samar, ketua seksyen terus mengarahkan anggota Combat Medic memberikan rawatan menggunakan pembalut luka yang sememangnya ada pada setiap anggota.

“Ketika itu, hanya kematian terbayang difikiran,” katanya.

Dalam linangan air mata, Md. Nonasi melahirkan ucapan terima kasih kepada lima rakannya yang bersusah payah mengusungnya kira-kira 2 kilo­meter.

Ujarnya, dia selamat tiba di sebuah hospital di Pulau Pinang kira-kira pukul 10 malam dan diberi tahu tahap kecederaan.

“Saya menyimpan dendam itu kerana pada usia baru 22 tahun dengan tiga tahun berkhidmat dalam ATM, saya menjadi cacat sepanjang hayat.

“Generasi sekarang janganlah terlalu gembira dengan ke­amanan dikecapi kerana ia boleh hancur sekiranya kita lalai,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI