fbpx

Rezeki 1,000 nelayan terjejas gara-gara aktiviti korek pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan nelayan membuat piket aman di hadapan kapal korek yang didakwa menjalankan aktiviti menyedut pasir di perairan Pulau Bidan, Yan semalam.

YAN – Sumber rezeki lebih 1,000 nelayan di daerah ini bakal terjejas susulan dakwaan kawasan perairan berdekatan empat buah pulau di sini tercemar akibat aktiviti pengambilan pasir sejak beberapa hari lalu.

Aktiviti pengambilan pasir itu turut memberi kesan kepada 25 pengusaha yang menjalankan aktiviti pelancongan Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Dayang Bunting.

Nelayan di jeti Sungai Udang, Amir Jaafar, 44, mendakwa, kegia­tan menyedut pasir melibatkan sebuah kapal korek dan beberapa tongkang mula dikesan dilakukan pada Sabtu lalu.

“Ramai nelayan yang mencari hasil laut di perairan berkenaan telah mengesan kehadiran sebuah kapal korek di situ.

“Aktiviti itu menyebabkan air laut tercemar dan mengakibatkan hasil tangkapan kami berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi nelayan, Jamil Ali, 55, berkata, aktiviti menyedut pasir turut menyebabkan kawasan pantai yang dipenuhi pasir di empat pulau itu kini bertukar selut.

“Ini telah menjejaskan habitat dan kehidupan marin selain memberi kesan kepada kualiti ikan dan hasil laut lain.

“Jika dibiarkan, tidak mustahil kami akan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa mengeluarkan modal tambahan membeli petrol untuk menangkap ikan di kawasan lain,” katanya.

Nelayan, Mohd. Shukri Said, 49, berkata, mereka tidak tahu status sebenar aktiviti itu sama ada sah atau tidak.

“Jika sah, kenapa dibiar dilakukan berdekatan empat buah pulau yang sebelum ini telah diwartakan sebagai pulau pelancongan di daerah ini,” ujarnya.

Pengusaha pelancongan, Yani Yunus, 47, pula mendakwa, mereka bakal mengalami kerugian ke­rana kawasan perairan dan struktur empat pulau di situ dikesan semakin rosak.

“Dahulunya, kawasan pantai di keempat-empat pulau itu dipenuhi pasir, tetapi sejak beberapa hari lalu kami kesan kawasan berpasir menjadi pendek dan berselut.

“Pokok-pokok di kawasan pantai banyak yang telah musnah dan menyukarkan kami untuk mendaratkan bot pelancong kera­na sekarang dipenuhi batu dan berselut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat siasatan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTGP) untuk mengetahui status sebenar aktiviti itu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI