fbpx
Kebanyakan kes kehilangan wang dalam akaun pendeposit adalah angkara penggodam. – Gambar hiasan

Scammer upah penggodam lesapkan wang pendeposit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Sindiket scammer kini dikesan mengubah modus operandi kegiatan haram dengan mengupah pakar perisian teknologi maklumat (IT) atau pasukan penggodam tempatan untuk merompak ratusan ribu ringgit wang pendeposit dalam akaun bank mereka.

Dengan kepakaran yang dimiliki individu terbabit sama ada menggunakan telefon bimbit atau komputer, mereka mampu menerima upah sehingga ratusan ribu ringgit daripada sindiket berkenaan.

Penganalisis Pertahanan dan Keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, pasukan penggodam digunakan dalam melakukan jenayah siber terutamanya melibatkan kes-kes kehilangan wang simpanan pendeposit dalam akaun bank.

Menurutnya, penggodam dilihat memiliki kepakaran lebih 10 langkah ke hadapan untuk me­mintas perisian atau aplikasi di­gital teknologi.

“Kemungkinan juga ada dalam kalangan sindiket ini adalah orang-orang dalam syarikat te­lekomunikasi itu sendiri yang menjual maklumat terutama­nya nombor telefon kepada scammer,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Muhammad Fuad

Muhammad Fuad membe­ritahu, di Malaysia, ada syarikat-syarikat berasaskan teknologi terutama melibatkan perisian komputer yang menawarkan perkhidmatan yang dikenali sebagai ‘media mining’.

Katanya, perkhidmatan itu berkemungkinan berfungsi untuk menjual rangkaian pangkalan data pengguna kepada scammer.

“Dengan ‘media mining’ ini, senang dan mudah untuk mereka mengakses maklumat seseorang individu atau syarikat.

“Sebagai contoh, kita masukkan nombor MyKad serta nama, maka akan keluar segala maklumat dan data terutamanya melibatkan penggunaan alat komunikasi. Persoalannya, apa jaminan kerajaan untuk mengawal masalah ini,” ujarnya.

Penggodam yang diupah sindiket scammer mempunyai kepakaran tinggi untuk memintas perisian atau aplikasi digital teknologi.

Muhammad Fuad turut mempersoalkan jaminan daripada kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap ke­selamatan pengkalan data.

“Siapa yang mempunyai akses kepada sistem data bank maklumat ini, siapa yang mengawal, adakah ada satu badan penyiasat yang dapat mengenal pasti bahawa maklumat ini tidak dijual kepada orang lain?

“Kalau kita lihat kes melibatkan pendakwaan di mahkamah, jarang kita dengar orang yang jual maklumat data bank pengguna dikenakan tindakan, kalau ada sedikit, tidak sepadan dengan nilai kerugian angkara scammer ini,” ujarnya.

Berita berkaitan: Bank tak boleh lepas tangan, wajib pulangkan duit pelanggan

Beliau turut mencadangkan supaya pihak berkuasa khusus SKMM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menubuhkan pasukan khas yang dianggotai individu yang ada kepakaran komputer.

“Persoalannya, tidakkah pihak berkuasa mampu untuk mengesan kedudukan penggodam atau scammer ini, saya rasa tidak logik sehingga pihak berkuasa gagal mengesan nombor-nombor te­lefon yang digunakan penjenayah siber ini,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan beberapa persatuan pengguna mendesak pihak bank supaya membayar semula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN