fbpx

Kerajaan Keluarga Malaysia sasar institusi politik inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Simposium Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa masih banyak usaha yang sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Keluarga Malaysia termasuk memperkukuhkan institusi-institusi politik yang ada sehingga ia menjadi inklusif.

Ismail Sabri berkata, institusi politik inklusif sudah pasti akan menyokong institusi-institusi ekonomi inklusif yang memelihara hak-hak ke atas harta, mewujudkan padang permainan sama rata dan menggalakkan pelaburan dalam skil juga teknologi baharu.

“Kita merancang untuk memperkukuhkan institusi Parlimen dan Kehakiman serta membentangkan Akta Pendanaan Politik untuk politik negara yang lebih sihat.

“Masih banyak agenda yang boleh kita laksanakan. Masih ramai golongan yang perlu kita bantu, baik golongan miskin, golongan wanita, golongan orang kurang upaya dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Simposium Keluarga Malaysia, Pencapaian dan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Penganjuran simposium tersebut disifatkan Perdana Menteri sebagai tepat pada masanya memandangkan hari ini genap satu tahun pentadbiran Keluarga Malaysia yang bermula pada 21 Ogos tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, beliau berharap agar semua pihak akan terus menguatkan tekad dan semangat untuk bersama-sama berusaha memantapkan lagi pentadbiran kerajaan dan memulihkan ekonomi negara untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, maka kita telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

“Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik malah pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak.

“Ini temasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang telah diluluskan sebulat suara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengambil peluang merakamkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang telah memberikan nasihat serta sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun yang lalu.

“Ketaatsetiaan Kerajaan Keluarga Malaysia kepada Seri Paduka Baginda tidak boleh sama sekali diragui, malah kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI