fbpx
Paramasivan (kanan) menunjukkan tempat pembuangan sampah haram di tempat letak kereta di Klang, Selangor kelmarin.

‘Orang lain buang sampah, kami tanggung azab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Kawasan letak ken­deraan berhampiran sebuah kuil di Jalan Lengkungan, Selat Selatan Pandamaran di sini bertukar menjadi tempat pembuangan sampah haram sehingga me­nimbulkan rasa kurang senang kepada 2,000 penduduk yang tinggal berhampiran.

Papan tanda larangan membuang sampah yang diletakkan di lokasi itu dianggap seperti hia­san semata-mata apabila episod pembuangan sampah domestik termasuk barang pukal serta industri masih berterusan sejak lima bulan lalu.

Seorang penduduk, M. Paramasivan, 54, berkata, dia kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil jalan pintas membuang sampah di lokasi tersebut.

Ujarnya, perbuatan tidak bermoral itu menyebabkan sekitar kawasan tersebut kotor dan tidak terurus seolah-olah tidak memikirkan perasaan masyarakat setempat.

“Sudahlah (sampah) dibuang, selepas itu dibakar pula sehingga menyebabkan gangguan bau. Selama lima bulan kami berdepan dengan masalah ini.

“Saya tidak tahu siapa yang membuang sampah ini, namun mereka langsung tidak mempunyai keseda­ran sivik dan hanya mementingkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Paramasivan (kanan) menunjukkan asap hasil pembakaran sampah haram dan papan tanda larangan di lokasi tersebut.

Menurut Paramasivan, le­bih menambah derita terdapat satu lagi kawasan pembuangan sampah haram yang jaraknya 500 meter dari lokaliti tersebut.

Justeru, lelaki itu berharap Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan segera menangkap pelakunya dan menge­nakan hukuman yang berat.

Seorang lagi penduduk, P. Arjun, 23, memberitahu, dia bimbang masalah lain akan timbul termasuk isu kesihatan sekira­nya tidak diatasi dengan kadar segera.

Tambahnya, keadaan di lokasi itu boleh mengundang kehadiran haiwan seperti biawak untuk mencari makanan.

“Busuk, kotor dan menjijikkan itu yang dapat saya gambarkan. Mereka yang membuang sampah, tetapi penduduk pula yang menderita menanggung azab.

“Sebelum ini, kawasan yang merupakan tempat meletak kenderaan ini bersih tanpa sebarang sampah. Kini sampah yang dibuang sudah bertimbun hingga menyebabkan bau busuk,” ujar lelaki itu.

POPULAR