PADA temasya Sukan SEA Manila 1981, Lydia De Vega Mercado yang pada ketika itu berusia 16 tahun telah mencipta kejutan apabila bukan sahaja berjaya memecahkan rekod Sukan SEA, bahkan rekod Sukan Asia dalam acara 200 meter (m) wanita.
Kejayaan yang diraihnya itu menjadi tajuk berita utama dan dia diangkat menjadi superstar trek di Filipina apabila memenangi emas dalam acara 200m dan 400m pada pada temasya tersebut.
Sejak itu, De Vega dilabelkan wanita terpantas Asia pada era 1980-an dengan kejayaan-kejayaan yang diraihnya di beberapa kejohanan besar.
Percaya atau tidak, rekod 11.28 saat bagi larian 100m yang dibuat wanita itu sejak 35 tahun lalu di Sukan SEA 1987 Jakarta masih kekal sebagai rekod yang belum boleh dipecahkan oleh mana-mana atlet dalam Sukan SEA sehingga kini.
Namun begitu, perkhabaran pilu dilaporkan baru-baru ini, apabila bintang pecut Filipina berusia 57 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya setelah empat tahun bertarung dengan kanser payudara.
Pemergian De Vega disahkan oleh anak perempuannya, Stephanie de Koenigswarter.
“Dia bertarung dengan hebat dan kini bersemadi dengan aman,” tulis anaknya di laman Twitter.

Mempunyai langkah larian yang panjang dengan pesona rupa paras cantik, De Vega adalah bintang sejati acara trek bagi Filipina, yang mana pencapaiannya masih tidak dapat ditandingi oleh atlet negara itu pada masa ini.
Dilahirkan sehari selepas Krismas di Meycauayan, Bulacan, Filipina pada 1964, De Vega menjadi atlet yang disanjungi ramai.
“Dia adalah superstar sebenar, kesayangan media dan kebanggaan negara.
“Kami mempunyai begitu banyak kenangan indah bersama yang terhasil daripada kerja keras dan cinta kepada negara,” kata Elma Muros Posadas yang merupakan ratu lompat jauh dan juga teman rapat De Vega.
Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. turut memberi penghormatan dan berkata, De Vega talah menyelesaikan perlumbaan terakhirnya.
“Dia telah menamatkan pertandingan dan bertarung dengan baik.
“Marilah kita berdoa untuk kesejahteraannya. Takziah kepada keluarga dan orang tersayang,” kata Marcos dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, tiga minggu sebelum meninggal dunia, anak perempuannya yang juga pemain bola tampar, Stephanie dalam catatan di akaun Instagramnya menyatakan, ibunya berada dalam keadaan kritikal.
Stephanie mendedahkan, ibunya secara senyap-senyap bertarung dengan kanser sejak 2018.
“Ibu saya berada dalam keadaan yang sangat kritikal akibat komplikasi yang disebabkan masalah kanser payudara tahap empat.
“Dia didiagnosis dengan masalah itu sejak 2018 dan telah melawan penyakit itu sejak empat tahun lalu secara senyap,” katanya.
Tambahnya, keadaan ibu De Vega terus serius walaupun beberapa prosedur telah dilakukan sebelum ini.

Kanser itu semakin merebak, keadaannya semakin teruk walaupun telah menjalani banyak prosedur termasuk pembedahan.
De Vega adalah salah seorang atlet terhebat yang pernah dilahirkan Filipina dan disebut-sebut sebagai Ratu Pecut Asia kerana memenangi pingat emas dalam acara 100m dan 200m dalam Kejohanan Olahraga Asia pada 1983 dan 1987 serta pingat emas 100m pada 1982 dan 1986 di Sukan Asia.
Dia juga mendominasi Sukan SEA untuk acara berbeza dari tahun 1981 hingga 1993 dan pada tahun terakhirnya menguasai acara 100m dan 200m di Singapura.
Selain itu, De Vega juga salah seorang atlet yang paling terkenal di negaranya dan telah memenangi 15 pingat emas dalam pelbagai pertandingan antarabangsa termasuk sembilan di Sukan SEA.
Pada masa sama, dia turut mewakili Filipina dalam Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan Sukan Olimpik 1988 di Korea Selatan.
Setelah bersara daripada pertandingan pada 1994, dia berkhidmat dengan Suruhanjaya Sukan Filipina untuk tempoh yang singkat.
Dia kemudian memilih untuk menjadi jurulatih olahraga di Singapura selama 10 tahun.
Penampilan terbaharunya di khalayak ramai adalah pada 2019 apabila bersama legenda sukan Filipina yang lain mengambil bahagian dalam majlis perasmian Sukan SEA yang berlangsung di negara tersebut.
Dalam pada itu, Pilavullakandi Thekkeparambil Usha dari India yang menjadi salah seorang pesaing sengit De Vega turut berasa sedih dan berkogsi ucapan takziah kepada keluarga bintang trek itu.
“Amat dukacita kerana kehilangan rakan atlet olahraga yang juga pesaing sengit dan juga rakan baik saya.
“Dia kehilangan perlumbaan hidupnya kerana kanser payudara, tetapi akan sentiasa diingati sebagai juara dalam hidupnya.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarganya,” kata Usha.

Usha, 58, dan juga De Vega menjadi seteru hebat antara satu sama lain bagi kejohanan trek Asia pada era 1980-an.
Pada Sukan Asia 1982, De Vega berjaya menewaskannya dalam acara 100m.
Dalam pada itu, pada tahun 2018 ketika menerima anugerah di Dewan Kemasyhuran Sukan Filipina, De Vega percaya negaranya boleh melahirkan tahun keemasannya dalam sukan seperti mana yang dilakukan olehnya.
“Sudah tiba masanya untuk mereka dan semua orang bekerja lebih keras ke arah itu.
“Terdapat begitu ramai atlet bagus di Filipina.
“Jadi mungkin ‘tahun emas’ kembali di negara kita, tetapi orang ramai perlu bekerjasama dan berusaha lebih keras bagi mencapai matlamat dan hasrat itu,” katanya.














