fbpx

Sindiket pengilang minuman keras RM3.36 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zazuli (tengah) menunjukkan botol minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA Sepang di sini, hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Taktik licik sindiket menjadikan gudang-gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, taktik sindiket pengilangan minuman keras tanpa lesen itu berjaya dilumpuhkan pihaknya dalam dua serbuan berasingan di Selangor melibatkan barang kes bernilai RM3.36 juta.

“Bahagian PenguatkuasaanJKDM Zon Tengah Unit III (LTAKL) membuat serbuan ke atas sebuah premis di Batu Arang dan berjaya menyita sebanyak 5,876 liter minuman keras pelbagai jenama tidak bereksais dianggarkan bernilai RM414,891 dengan duti RM462,105 pada 21 Julai lalu.

“Kami turut menyita peralatan memproses minuman keras seperti mesin memproses bahan mentah, tong berisi cecair disyaki alkohol, botol kosong, penutup botol, pelekat minuman keras, kotak dan setem cukai kastam disyaki palsu dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.

Katanya, pihaknya turut menyerbu sebuah lagi gudang di Puncak Alam serta menyita sebanyak 22,355 liter cecair dengan nilai RM1.01 juta selain cukai sebanyak RM1.4 juta.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua minuman keras yang disita adalah dikilangkan secara haram tanpa lesen eksais yang sah bagi mengelak membayar duti atau cukai keatasnya.

“Susulan itu, seramai empat orang suspek warganegara asing berumur antara 24 tahun hingga 37 tahun ditahan sebelum dituduh di Mahkamah Selayang pada 5 Ogos lalu,” jelasnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 5(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI