fbpx
Obor-obor Box Jelly yang terdapat di perairan negara ini.

Saran pasang papan tanda amaran ubur-ubur di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT – Jabatan Perikanan Perak akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan supaya memasang papan tanda mengenai kehadiran ubur-ubur yang berbahaya di pantai di Pulau Pangkor berikutan kejadian seorang kanak-kanak warga Perancis maut disengat haiwan itu pada Isnin lalu.

Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim, berkata papan tanda itu perlu bagi mengingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika mandi di pantai dan tidak menyentuh sebarang jenis ubur-ubur di laut.

“Hasil kunjungan Jabatan Perikanan Perak ke lokasi yang terlibat, semalam, tiada penampakan ubur-ubur beracun dan berbahaya seperti yang dinyatakan.

“Buat masa ini, Jabatan Perikanan negeri tidak dapat mengenal pasti spesies ubur-ubur yang terdapat di pantai berkenaan kerana semasa tinjauan diadakan tiada penampakan ubur-ubur tersebut,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai sekiranya melihat dan menjumpai ubur-ubur berkenaan, agar dapat mengambil gambar dan memberikan maklumat tersebut kepada pihaknya supaya dapat mengenal pasti spesies ubur-ubur tersebut.

Menurut Noraishah, Jabatan Perikanan Malaysia melalui Institut Penyelidikan Perikanan sebenarnya telah menjalankan kajian mengenai ubur-ubur pada 2009, 2012 dan 2015 di perairan negara termasuk perairan Teluk Lekir dan Pulau Pangkor.

Beliau memaklumkan dapatan kajian mencadangkan tiga spesies ubur-ubur beracun yang dilaporkan berada di perairan Malaysia iaitu Box Jelly atau bahasa saintifiknya Chironex fleckeri, Lion’s mane jellyfish (Cyanea capillata) dan Portuguese Man of War (Physalia physalis).

“Jika seseorang terkena atau tersentuh dengan bahagian sesungut ubur-ubur ini, ia boleh memudaratkan dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR