fbpx
TANAMAN pisang yang dimusnahkan gajah liar dalam kejadian di Kampung Satut, Pos Perwor di Sungai Siput baru-baru ini.

Penduduk ketakutan kampung diceroboh gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT – Penduduk Orang Asli di Kampung Satut, Pos Perwor dekat sini kini dibelenggu kebimbangan apabila kawanan gajah liar menceroboh masuk ke kampung mereka dan merosakkan beberapa buah rumah.

Tinjauan di kampung yang dihuni 140 penduduk itu mendapati empat buah rumah rosak selain dewan manakala tanaman pisang pula musnah akibat ‘serangan’ mamalia itu untuk mencari makanan.

Seorang penduduk, Tinah Pandak, 50, berkata, kejadian itu disedari awal pagi Isnin sekitar pukul 1 pagi apabila dia dikejutkan jeritan jiran bahawa terdapat gajah di luar rumahnya.

Katanya, dia yang ketika itu sedang tidur segera mengejutkan ahli keluarga lain dan mereka berlari ke surau untuk menyelamatkan diri.

“Saya tidak nampak berapa ekor gajah yang ada kerana keadaan gelap tapi apa yang diberitahu jiran, ada seekor gajah besar di tepi rumah manakala anaknya pula masuk ke dalam melalui pintu belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurutnya, serangan gajah itu bukan sahaja menyebabkan pintu dan dinding rumahnya rosak malah barang-barang dapur juga bertaburan di atas lantai dan luar rumah.

“Gajah itu mungkin masuk ke dalam rumah untuk cari makanan, sebab itu, habis almari dan barang-barang dapur pun diterbalikkan dan pecah.

“Sekarang kami menumpang tidur di surau. Tidak berani lagi tinggal di rumah kerana pintu pun belum dibaiki, hanya guna papan lama untuk tutup,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR