MEMAINKAN peranan villain (watak jahat), Aswatama dalam filem adi wira atau superhero terbaharu Indonesia berjudul Satria Dewa: Gatotkaca, pemilik nama lengkap Fedrian Nuril itu ternyata berasa senang. Dia bersyukur dapat lari daripada bayang karakter lelaki baik-baik sering diterjemahkan dalam karya terdahulu, biarpun hanya seketika.
Bukan itu sahaja, Fedi Nuril, 40, mengakui, menterjemah sebuah karakter berdasarkan sejarah dan perkembangan mahakarya Mahabharata yang lazim dan dekat dengan masyarakat Indonesia merupakan satu cabaran besar.
Jangkaan audiens semestinya tinggi biarpun watak dijayakannya merupakan satu elemen kejutan dalam Gatotkaca.
“Penonton di Indonesia sudah tonton filem ini, mereka menjangkakan sesuatu yang lebih daripada watak ‘kerdil’ yang saya jayakan.
“Mereka mengharapkan akan ada sambungan untuk cerita ini. Kalau tiada aral melintang, akan ada sekuel kedua, ketiga dan keempat.
“Saat peminat dapat tahu saya akan memainkan peranan, mereka tertanya-tanya apa akan jadi dan sebagainya.
“Mereka menanti apa akan ada yang selanjutnya,” katanya usai majlis tayangan perdana filem arahan sutradara, Hanung Bramantyo tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesulitan Aswatama
Bercerita tentang kesulitan melakonkan karakter yang sudah terpahat dan bersifat legenda dalam kalangan masyarakat, Fedi mengakui, itu kepuasan. Sebagai pelakon dia sudah menangani cabaran tersebut dengan baik.
“Sebenarnya, agak mencabar tapi karakter yang dijayakan dalam filem ada improvisasi daripada apa yang pernah diceritakan sebelum ini.
“Justeru, saya boleh melakonkan karakter Aswatama dengan cara tersendiri tanpa terlalu dibayangi cerita yang ‘dimomokkan’ legenda terdahulu. Senang cerita, rasa lagi bebas sebenarnya dalam filem.
“Kalau orang cakap, Aswatama bukan seperti apa yang saya gambar atau jayakan dalam filem. Jawab saya, itu terpulang kerana kisah ini pun dah diceritakan dari zaman ke zaman sejak beribu tahun lalu.
“Manusia berevolusi dan mereka sudah berubah pemikiran. Ini terjemahan daripada saya. Saya mempunyai ruang untuk menjayakannya dengan cara tersendiri,” tuturnya.

Kepuasan
Ditanya tentang keseronokan melakonkan karakter antagonis, Fedi yang juga merupakan seorang pemuzik tidak menafikan ada kepuasan dirasai memandangkan selama ini hanya karakter ‘lelaki baik’ sudah sinonim dengannya.
“Semestinya, saya sudah sangat lama berlakon watak protaganis. Saya perlukan sesuatu yang baharu untuk memberi cabaran kepada diri sendiri.
“Saya belajar benda yang tidak pernah saya belajar sebelum ini. Melakonkan watak antagonis, saya boleh cakap, senyuman terakhir merupakan senyuman penuh kepuasan.
“Saya pun tak tahu selama ini, mengapa tak pernah diberikan watak antagonis. Mungkin produser takut kalau saya berlakon jahat, filem mereka tak laku.
“Mereka lebih suka saya melakonkan watak protagonis berkait agama,” tuturnya.

Bukan senang untuk mengikis kelaziman watak protagonis dalam diri seseorang aktor kerana ini semua tergantung selera penonton.
“Kalau saya melakonkan karakter jahat tapi filem jatuh rugi dan tiada yang menonton, apa gunanya. Menerima tawaran daripada Hanung bererti saya membuatkan penonton bingung.
“Peminat pasti bingung apa yang saya akan jayakan untuk filem Gatotkaca selanjutnya. Mungkin selepas ini kalau mereka lihat saya penggal kepala orang, lagi bingung dibuatnya,” ujarnya.
Menjayakan karakter villain juga bukan sekadar satu percubaan bersahaja buat Fedi. Dia sangat mengagumi watak Agent Smith dalam filem The Matrix dan itu barangkali antara rujukannya menjadi orang jahat.
“Saya sukakan suara Agent Smith. Saya dah lama berlatih dialog yang dilontarkan aktor yang menjayakan karakter tersebut, Hugo Weaving.
“Saya memang obses dengan lakonan, suara dan lirikan mata Agent Smith.
“Berbalik tentang karakter Aswatama, saya boleh katakan bahawa, dalam setiap kebaikan ada keburukan. Terpulang kepada penerimaan audiens sama ada suka, sokong atau sebaliknya,” ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Hormat Laudya Cynthia Bella
Bersahabat baik dengan pelakon Laudya Cynthia Bella, Fedi turut menghormati keputusan persaraan aktres itu daripada dunia hiburan.
Sebagai pelakon yang kerap bekerjasama dengan Bella, ujar Fedi, wanita berusia 34 tahun itu sebenarnya, sudah lama menunjukkan hasrat ingin berhenti daripada terus aktif dalam dunia lakonan.
“Sebagai kawan, saya menyokong apa sahaja yang membuatkan dirinya nyaman (selesa). Saya tengok kali terakhir penggambaran, dia sudah mulai tidak bersentuhan,” tuturnya.
Fedi bagaimanapun mengharapkan rakan baiknya itu bertemu ketenangan hidup yang dicari-cari selama ini.
“Memang agak sukar untuk menjayakan karya romantis dengan tidak bersentuhan, apatah lagi kisah yang dijayakan melibatkan peranan suami isteri.
“Bagi saya, kalau memang dia sudah tidak nyaman dan ingin keluar daripada industri, tiada masalah. Yang penting, buat sahaja apa yang membuatkan kita bahagia dan berasa selesa.
“Saya berharap dia bertemu ketenangan dan kedamaian,” ujarnya.
Ditebak, sama ada bekas isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin itu ada bertemu dengannya sebelum membulatkan keputusan untuk bersara, jawab Fedi:
“Tidak ada. Sekali pun dia datang kepada saya minta pendapat, saya hanya akan cakap, buat sahaja apa yang membuatkan dirinya baik, gembira dan tenang.”
Fedi dan Bella pernah berlakon bersama dalam francais filem fenomena, Surga yang Tak Dirindukan. Dalam karya tersebut, mereka melakonkan peranan suami isteri.
Terdahulu, selepas berlegar-legar perkhabaran Bella dikatakan berkahwin dengan lelaki asal Dubai, dia sekali lagi menarik perhatian peminat apabila mengumumkan mahu bersara daripada dunia seni hiburan.















