fbpx
GAMBAR HIASAN

Kerajaan belum putuskan kebenaran eksport ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbang cadangan mengeksport ayam sekiranya bekalan bahan mentah itu untuk keperluan dalam negara serta harganya pulih sepenuhnya.

Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum kebenaran itu diberikan, kerajaan perlu memperhalusi pemberian subsidi yang membolehkan ayam standard dijual pada harga siling runcit iaitu RM9.40 sekilogram di Semenanjung ketika ini.

“Kerajaan juga tidak hanya tangani soal eksport sebaliknya turut mengkaji selama mana subsidi itu mahu dikekalkan. Kalau kita tiba-tiba terus membenarkan eksport dan pada masa yang sama, ditamatkan subsidi, maka harga ayam mungkin akan melambung sekali lagi,” katanya di sini tadi.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, bahawa Kabinet akan memuktamadkan keputusan mengenai eksport ayam hari ini.

Tambah Annuar, kabinet ada membincangkan isu kebenaran mengeksport ayam, namun tiada keputusan dibuat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengemukakan beberapa syor.

“Keperluan ayam dalam negara ketika ini adalah sebanyak 70 juta ekor sebulan atau kira-kira 2.2 juta ekor sehari malah bekalan keperluan ketika ini mencecah 3.5 juta ekor sehari.

“Walaupun bekalan melebihi keperluan, kerajaan hanya akan membenarkan eksport jika ia tidak menjejaskan keperluan domestik,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan akan membuat keputusan itu selepas semua perkara diteliti dan satu kaedah akan diperkenalkan jika ayam dibenarkan untuk eksport.

“Pasukan Jihad Tangani Inflasi juga sudah mengarahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk membuat kajian bagi menetapkan kos sebenar ayam di peringkat ladang.

“Kaedah itu sama seperti dilakukan untuk menetapkan harga siling minyak masak tulen kemasan botol dan kerajaan mengambil kira harga komoditi sawit dari pelbagai sudut sebelum menetapkan harga munasabah yang perlu dibayar oleh rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR