fbpx

Perlu RM60,000 tukar buah pinggang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEHVAN kini bergantung hidup dengan pendapatan isterinya ketika ditemui dirumahnya di Taman Kapar Indah, Klang baru-baru ini.

KLANG – Impian bekas operator kilang minyak masak untuk kembali sihat selepas menderita pe­nyakit buah pinggang sejak dua tahun lalu mungkin tertangguh apabila kos pembedahan mene­lan belanja RM60,000.

Meskipun telah mendapat penderma, namun M. Tehvan, 44, kini runsing memikirkan jumlah kos yang tinggi di saat kewa­ngan bulanannya kini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isteri, R.G. Anantha Nayati, 44, kira-kira RM1,300 sebulan.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia disahkan menghidap penyakit tersebut selepas membuat pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Julai 2020.

Katanya, tiada sebarang ‘petanda’ besar kegagalan buah pinggangnya kecuali kesukara­n untuk membuang air besar dan air kencingnya berbuih.

“Penyakit datang senyap-senyap dan saya terkejut apabila doktor memaklumkan kedua-dua buah pinggang saya rosak akibat mengecut.

“Doktor memaklumkan hanya mempunyai dua kaedah iaitu sama ada dialisis atau tukar buah pinggang baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kapar Indah, di sini semalam.

Tehvan memberitahu, dia sebelum ini mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan sebelum diberhentikan kerja ketika pandemik melanda negara bagi memastikan kelangsungan perniagaan majikannya.

Ujarnya, ketika ini dia hanya menjalankan aktiviti mengutip bunga malai dan putih di sebuah kebun untuk tujuan sembah­yang bagi penganut hindu dengan pendapatan RM20 sehari.

“Saya tidak boleh buat kerja berat sebab cepat letih tambahan dialisis perlu dilakukan empat kali sehari di rumah.

“Syukur, alat dialisis berharga RM2,000 itu hasil pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Bercerita lanjut, Tehvan berkata, perbelanjaan harian termasuk bayaran bulanan rumah berjumlah RM700 kini ditanggung Anantha yang merupakan pekerja am menimbang buah kelapa sawit di sebuah kilang di Kapar selain dibantu saudara mereka.

Kedua-dua anak perempuannya pula masih bersekolah dan berusia 16 dan 17 tahun.

“Saya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mendapat tahu mempunyai penderma pada Januari lalu de­ngan dijadualkan menjalani pembedahan pada Oktober.

“Namun, setakat ini hanya RM4,000 berjaya dikumpul berbanding RM60,000 diperlukan untuk kos pembedahan. Jadi, saya berharap ada yang sudi membantu,” jelasnya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan kepada akaun CIMB BANK bernombor 7007 3608 52 atas nama Tehvan atau menghubunginya di talian 011-28264415.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI