fbpx

Penjawat awam wajar pertahankan kerajaan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Penjawat awam diseru agar bersama-sama membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membawa negara ke arah kejayaan serta melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan bukannya sekadar mempertahankan parti politik.

Ismail Sabri berkata, penjawat awam juga wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan serta fitnah yang mengatakan kononnya kerajaan pimpinan beliau adalah kerajaan gagal.

“Apabila tuan puan mempertahankan kerajaan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik sebaliknya lihat saya sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.

“Kerajaan ini adalah kerajaan bersama dan sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysia kerana mahu kita bersama-sama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga,” katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Menurut Ismail Sabri, pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, peluang pekerjaan yang mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion merupakan antara kejayaan dikecapi kerajaan ketika ini.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam juga perlu bekerja sebagai satu keluarga dan tidak bekerja dengan budaya silo atau tertutup dan terasing.

“Kita mesti bekerja bersama, kita ada tanggungjawab bersama dan tidak boleh bergerak secara silo tetapi mesti bekerja secara keluarga kerana cara silo sebenarnya akan menyebabkan kegagalan kepada sesuatu tindakan atau perancangan,” ujar beliau.

Tambah beliau, penjawat awam juga disarankan agar mengurangkan kerenah birokrasi terhadap pelabur bagi membolehkan ekonomi negara bertambah baik memandangkan ia sering dibangkitkan kumpulan itu ketika beliau mengadakan lawatan ke luar negara.

“Banyak kementerian terbabit dalam perkara sama dan akhirnya menyebabkan kelewatan. Bagi pelabur, peniaga, masa adalah sangat penting di mana kelewatan kelulusan akan menyebabkan kerugian pada mereka.

“Kerajaan juga sudah bersetuju mewujudkan unit #MyMudah bagi menangani isu birokrasi yang akan ditubuhkan di semua kementerian dan agensi Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyatakan bahawa kejayaan kerajaan hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan dokongan semua penjawat awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI