fbpx

Dikejar ikan besar dan cahaya, mungkin punca ikan bilis naik ke pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang tular menunjukkan ikan bilis dikutip orang ramai di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor Sabtu lalu.

LUMUT – Fenomena ikan bilis naik dan terdampar di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini Sabtu lalu dan tular di media sosial kemungkinan berpunca daripada pengejaran ikan besar terhadap ikan tersebut atau tarikan cahaya lampu di kawasan tersebut.

Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim, berkata maklumat daripada pengusaha dan nelayan vesel ikan bilis juga mendapati hasil tangkapan ikan tersebut telah meningkat sejak dua tiga hari sebelum fenomena itu berlaku.

“Maklumat dari nelayan yang menangkap ikan di sekitar memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan Alu-alu yang mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ikan bilis melompat ke pantai.

“Ada maklumat juga memaklumkan kemungkinan lambakan ikan bilis di kawasan pantai Pasir Bogak disebabkan cahaya lampu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mengikut kajian saintifik terdapat tiga faktor yang menyebabkan ikan bilis naik ke pantai dan antaranya ialah perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga dan plankton serta arus dan gelombang yang tinggi.

Jelas beliau, jabatan itu berpandangan dasar Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada 2016 yang mewujudkan Zon Konservasi iaitu kawasan pembiakan ikan dari pantai hingga satu batu nautika ke laut, dengan melarang sebarang aktiviti menangkap ikan telah menampakkan kejayaan dengan penambahan ikan bilis.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan Jabatan Perikanan Negeri Perak akan memantau kejadian itu dari masa ke semasa

“Mengikut maklumat yang diterima oleh pejabat ini, pada 13 Ogos lalu lebih kurang pukul 7.30 hingga 8 malam, didapati ikan bilis telah naik ke pantai Pasir Bogak.

“Insiden yang sama berlaku pada 12 Ogos yang mana didapati anak ikan tamban juga naik terdampar di pantai tersebut dalam kuantiti yang kecil,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI