fbpx

70 peratus premis berstatus premis peroleh Sijil Perakuan Bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Hamdan (dua kiri) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 kepada salah seorang penerima anugerah tersebut di Raia Hotel, Bayan Lepas di sini hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Sebanyak 70 peratus daripada 8,300 premis berstatus premis ditetapkan di seluruh negara telah memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, 30 peratus lagi premis yang berstatus premis ditetapkan itu masih dalam proses untuk mendapatkan FC bagi premis masing-masing.

“Di seluruh negara terdapat 8,300 premis yang berada di bawah premis ditetapkan dan kira-kira 70 peratus daripada premis ini telah memperoleh FC.

“30 peratus lagi premis sedang dalam proses mendapatkan FC dan sekiranya mereka gagal mematuhi apa yang telah ditetapkan pemilik premis boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 peringkat Pulau Pinang di Hotel Raia di sini.

Pada majlis itu, seramai 61 orang telah menerima APC manakala dua pegawai pula diberikan sijil 30 tahun perkhidmatan serta sijil kepada pesara bomba yang menamatkan perkhidmatan pada 2021.

Menurutnya, sekiranya pemilik premis didapati masih gagal memastikan premis mereka memperoleh FC seperti yang ditetapkan menerusi Akta 341 mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara.

“Setiap bangunan ada risiko kebakarannya, jadi bagi premis yang berada dibawah kategori premis ditetapkan, premis ini perlu menjalani pemeriksaan yang ditetapkan oleh pihak bomba.

“Akta 341 bukan bertujuan untuk menghukum pemilik premis, namun sebaliknya ia untuk memastikan keselamatan premis berkenaan daripada sebarang risiko kebakaran,” katanya.

Tambahnya, bagi premis milik kerajaan seperti hospital kerajaan terdapat tindakan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambahbaik sistem keselamatan kebakaran termasuk untuk memperoleh sijil FC.

Dalam pada itu, katanya, bagi Pulau Pinang, daripada 731 premis yang berada di bawah kategori premis ditetapkan sebanyak 609 premis telah memperoleh FC.

“Sebanyak 122 bangunan antaranya kilang, hotel dan lain-lain premis masih dalam proses permohonan untuk memperoleh FC,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI