“TIADA strategi, cuma pastikan fasih bahasa Melayu,” ujar wanita dengan panggilan mesra Lizzy itu berdekah manja saat ditanya apa rahsia dirinya kekal relevan di mata peminat yang dipelopori orang Melayu hampir satu dekad penglibatan dalam dunia seni.
Elizabeth Tan atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei mengakui pentingnya penguasaan bahasa kebangsaan demi mencari rezeki sekali gus menempatkan diri dalam cabang seni yang pasarannya untuk orang Melayu.
“Ada sahaja orang Cina lain yang masuk dalam industri ini tapi bahasa Melayu tak fasih. Itu mungkin sebab tak kekal lama.
“Mereka rasa penguasaan atau kefasihan berbahasa Melayu tak penting. Bagi saya, fasih cakap Melayu memang penting.
“Sebagai rakyat Malaysia, tak kisahlah anda berbangsa apa sekalipun, itu (bahasa Melayu) adalah perkara nombor satu perlu dikuasai,” katanya yang cukup dikenali menerusi lagu Knock Knock.
‘Fasih bahasa Melayu penting’
Melanjutkan bicara, Lizzy turut mengakui dia juga banyak kelemahan dari sudut berkomunikasi dalam bahasa Melayu, namun dia sentiasa meletakkan usaha untuk memperbaiki diri.
“Saya pun tiadalah fasih sangat. Ada lah pelat-pelat (ketawa), tapi saya sentiasa cuba yang terbaik setiap hari dan nasihat kecil saya, kalau nak masuk dalam industri ini, kena berusaha bersungguh-sungguh. Itu benda paling penting,” ujarnya merendah diri.

Mengimbau tentang permulaan hasrat dan impiannya untuk terlibat dalam bidang seni, Lizzy mendedahkan, pada mulanya ibu bapanya tidak begitu bersetuju dengan cita-citanya menjadi anak seni.
“Sebenarnya, selepas sekolah menengah, pilihan pertama saya nak masuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), nak belajar teater.
“Mak cakap tak boleh, sampaikan saya merayu menangis, tetapi selepas ‘diuji bakat’ ibu sendiri, memang betul saya tak lulus (ketawa). Jadi, saya tak sambung belajar di ASWARA.
“Entah macam mana aturan Tuhan, sekarang saya bergelar seorang pelakon. Saya tak pernah sangka pun akan dapat peluang macam ini.
“Sudah lapan tahun berada dalam industri yang dipelopori orang Melayu. Saya bertuah sebab ada kawan-kawan lain yang masuk industri sekejap, lepas itu hilang. Dapat bertahan sampai sekarang, saya sangat bersyukur,” tutur Artis Baru Terbaik (Wanita) Anugerah Planet Muzik ke-14 (AIM14) itu.
‘Selagi tak buat serangan seksual, saya okey’
Sementara itu, diajak berbicara tentang penyakit lelaki ‘miang’, Lizzy tertawa, namun dalam tawa tersebut dia mengambil serius pertanyaan dilontarkan.
Mengakui sering menjadi mangsa gangguan seksual dalam bentuk lisan menerusi media sosial termasuk ada segelintirnya yang menyifatkan dia sebagai ‘simbol seks’, Lizzy ternyata mempunyai cara tersendiri menangani situasi tersebut.
“I don’t really care about that (saya tak kisah sangat pun pasal benda itu).
“Selagi mereka tak buat apa-apa kepada saya secara fizikal macam datang dekat, pegang atau buat serangan seksual, saya okey sahaja.
“Dalam media sosial, saya faham bahawa khalayak ada hak nak cakap apa mereka mahu. Betul, semua orang ada pendapat masing-masing. Saya tak pasti saya sangat seksi tetapi kalau mereka rasa begitu, terpulanglah,” katanya.

Tidak menafikan selalu menerima foto yang ‘bukan-bukan’ dalam media sosial, penyanyi berusia 29 tahun itu bersifat terbuka dan berlapang dada dengan cubaan sebagai anak seni.
“Banyak saya terima. Direct message (DM) saya berlambak, gambar kemaluan mereka hantar. Macam-macam ada.
“Apabila dapat kiriman sebegitu, saya gelak sahaja. Mungkin mereka inginkan perhatian sahaja kot. Saya tak balas pun benda-benda begitu.
“Kecuali kalau ada yang komen benda yang bersifat rasis. Saya tidak akan sesekali berkompromi dengan perihal tersebut. Kalau saya dapat, memang confirm block,” kata Lizzy.
Suami tak kisah, duduk asing
Diusik pertanyaan bagaimana penerimaan suami, Siew Jim apabila dirinya kerap diganggu lelaki miang, balasnya selamba: “Dia tak kisah. Dia lagi suruh saya tunjuk lebih.
Kadang-kadang suami saya melampau dan pelik sikitlah sebenarnya. Saya tak tahu nak gambarkan dia macam mana.”
Terlanjur berbicara tentang suami, Lizzy memaklumkan dia dan cinta hatinya merancang untuk memiliki cahaya mata bermula tahun hadapan.
Tidak segan untuk mengaku, dia juga mendedahkan sekarang mengambil pil perancang kerana masih belum bersedia bergelar ibu selepas berkahwin sejak Mac tahun lalu.
“Harapnya akhir tahun ini (mencuba untuk hamil). Saya dan suami akan mula mencuba. Kita try tapi saya makan pil perancang agak lama.
“Saya akan berhenti makan pil perancang pada Oktober depan. Jadi, selepas itu kalau jadi, jadilah dan kalau dapat (anak), dapatlah.

“Sebenarnya, susah untuk saya putuskan nak dapatkan anak atau tidak sebab kalau itu berlaku terlalu awal akan mengorbankan kerjaya seni.
“Selepas jadi mak, watak-watak yang ditawarkan mungkin tak lagi macam sekarang. Jadi, saya dah dua tiga tahun makan pil perancang. Tahun depan usia sudah menginjak 30 tahun. Doktor pun nasihatkan dapatkan anak sebelum usia 35 tahun,” ujarnya.
Masih tidak tinggal sebumbung dengan suami yang yang merupakan seorang doktor pelatih, Lizzy berkata, dia tidak kisah dengan perkara tersebut.
“Kami masih tak duduk sebumbung. Dia duduk dengan mama dia, saya pula duduk dengan mama saya. Dia akan datang sekali atau dua kali seminggu.
“Hubungan kami sekarang macam dating saja. Ada ruang untuk rindu. Waktu mula-mula dahulu, saya fikir kena duduk sekali sebab itu satu tradisi yang kena ikut.
“Tetapi masing-masing tak nak tinggalkan mak kami keseorangan. Jadi, selepas beberapa ketika, kami dah biasa hidup berasingan. Saya percaya mak mentua tengokkan suami supaya dia tak buat benda-benda nakal (ketawa),” selorohnya menoktahkan perbualan.
















