fbpx

Peninju Thailand maut di gelanggang Muay Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa, Mr. Kittichai yang meninggal dunia semasa menyertai Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di padang sebuah kolej di Kampung Che Deris, Kota Bharu semalam. - FOTO MEDIA SOSIAL

KOTA BHARU – Seorang peninju Muay Thai warganegara Thailand menemui ajalnya selepas mengalami pendarahan dalam otak apabila tewas di tangan peninju tempatan dalam Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di padang sebuah kolej di Kampung Che Deris, Badang di sini semalam.

Mangsa, Mr. Kittichai Chaengkhao,28, meninggal dunia kira-kira pukul 10.57 pagi semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini selepas hampir 10 jam dirawat di unit kecemasan hospital itu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, semasa kejohanan itu, mangsa dijadualkan berlawan dengan seorang peninju Muay Thai tempatan yang berusia 29 tahun malam kelmarin.

Menurutnya, semasa pertarungan berlangsung, mangsa dipercayai telah tewas dan tidak sedarkan diri sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Badang di sini kira-kira pukul 1 pagi semalam.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di unit kecemasan HRPZ II kira-kira pukul 10.57 pagi akibat pendarahan dalam otak.

“Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Mayat mangsa telah dibawa ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada waris pada pukul 8 malam semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, berdasarkan siasatan mangsa memasuki negara ini secara sah dengan mempunyai dokumen perjalanan yang diperakui.

Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada pihak penganjur berhubungan kes tersebut dan mendapati pihak terbabit mempunyai permit untuk menganjurkan kejohanan Muay Thai itu.

Tambah Muhamad Zaki, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI