fbpx
GAMBAR HIASAN

Lepasan SPM pilih duit berbanding ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU Malaysia bakal ‘dihuni’ generasi pengemis berikutan golongan muda tidak berminat melanjutkan pengajian diibaratkan satu ‘bencana’ besar dan tidak wajar dipandang ringan.

Situasi ini jika dibiarkan tanpa penyelesaian bakal menyebabkan Malaysia dipenuhi golongan kelas ketiga atau kuli.

Keadaan ini sekali gus boleh menyebabkan negara bakal ketandusan tenaga kerja mahir dan menyukarkan usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan membantu kos sara hidup rakyat.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kaji selidik membabitkan 560,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati hanya 170,000 menyambung pelajaran, manakala 72.1 peratus atau 390,000 lagi enggan berbuat demikian.

Lebih membimbangkan, trend pada tahun 2019 itu dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Dalam satu kajian lain mendapati sebanyak 328,700 atau 44.8 peratus daripada anggaran 733,000 rakyat Malaysia yang menganggur juga membabitkan pelajar lepasan SPM.

Kita semua tahu SPM merupakan peperiksaan penting kerana ia laluan untuk pelajar melangkah ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya memperoleh sijil, diploma atau ijazah.

Zaman penulis dahulu, melanjutkan pelajaran ke universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi satu pencapaian tertinggi.

Bagaimanapun apa yang dapat dilihat kini telah berubah apabila sebilangan anak muda tidak lagi menunjukkan keinginan untuk melanjutkan pengajian selepas tamat SPM.

Apa yang mereka mahukan adalah wang ringgit. Bagi mereka sijil tidak menjamin diri mendapat kerjaya dengan gaji lumayan.

Penting untuk kita fahami, dalam mana-mana pekerjaan gaji akan meningkat. Bermula dengan rendah, ia tidak terhenti di situ sampai ke tua.

Apa yang diperlukan adalah sabar.

Jika berbicara soal kemampuan, ia bukan penamat, terlalu banyak pihak menawarkan biasiswa dan pinjaman. Jika mendapat keputusan cemerlang, anda tidak perlu membayar semula pinjaman.

Golongan belia sekarang kebanyakannya dimomok dengan berniaga antaranya produk MLM yang didakwa mampu memberi kemewahan dalam masa singkat.

Ungkapan tidak belajar tinggi tetapi boleh kaya dengan berniaga yang menjadi keagungan golongan tertentu kini menjadi ‘pegangan’ bagi golongan muda terutama lepasan SPM.

Benar, anda boleh kaya dengan berniaga dan dengan perniagaan boleh hidup mewah, namun untuk mencapai tahap kekayaan dengan nilai dalam bank berjuta ringgit, ilmu pengetahuan juga diperlukan.

Walaupun ada yang berpandangan pada zaman ini kelayakan akademik bukan segala-galanya, namun memilikinya adalah penting untuk maju ke hadapan.

Jangan biarkan lepasan SPM terus hanyut dibuai mimpi indah yang bersifat sementara. Tariklah mereka dengan cara berhemah agar tidak menyesal kelak. -KOSMO! ONLINE

POPULAR