fbpx

Sewa apartmen mewah proses syabu RM644,195

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARULZaman menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini./ FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kegiatan sindiket mengedar serta mencuci dadah lama terbongkar setelah tiga individu termasuk seorang wanita dicekup polis dalam tiga serbuan berasingan di Johor Bahru dan Pekan Nanas, Pontian, Selasa lalu.

Dalam serbuan kira-kira 11.15 pagi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan berat lebih 15.49 kilogram (kg) berjumlah RM644,195.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu termasuk seorang lelaki warga asing ditahan berusia lingkungan 32 hingga 49 tahun.

Katanya, hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Modus operandi kegiatan pengedaran ini adalah dengan menyewa apartment mewah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat penyimpanan dan mencuci dadah lama melibatkan dadah jenis syabu.

“Sindiket ini menggunakan khidmat pakar yang melakukan proses mencuci dadah lama sebelum diedarkan ke pasaran tempatan serta luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis juga merampas 11.13 kg syabu, 4.23 kg ketamin dan 139 gram pil erimin 5 dengan nilai RM644,195 yang boleh digunakan seramai 77,280 penagih.

Pihak polis turut menyita enam buah kereta, pelbagai barang kemas, beberapa botol bahan pencuci dan wang tunai berjumlah RM109,840.

Katanya, kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 16 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI