fbpx
MUHAMMAD Nur Taufiq ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini./FOTO AFIQ RAZALI

Mahkamah: Lelaki didenda RM7,000 buat ciapan Twitter ajak berhimpun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Padah membuat penghantaran komunikasi dalam laman sosial Twitter berbaur ancaman mengajak perhimpunan tanpa kebenaran tahun lalu, seorang lelaki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27, selepas lelaki itu selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya, OKS gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Taufiq  didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi “Sabtu riot?! TURUN!” yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan akaun “Tulangkata @ tul4ng” pukul 4.44 petang, 13 Julai 2021.

Hantaran itu dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini, pukul 10.15 pagi, 14 Julai tahun sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Muhammad Nur Taufiq yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan mengaku salah atas kesalahannya.

“Saya mengaku menulis skrip itu (ciapan), dan saya meyedari kekhilafan dan kesalahan, saya masih menganggur, mohon hukuman ringan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS.

Ini kerana, menurut Najihah ciapan yang dimuat naik OKS adalah bersifat mengancam iaitu kerana membuat ajakan perhimpunan sedangkan ketika itu negara masih dalam tempoh pemulihan fasa pandemik.

“Ciapan tersebut telah mendapat ulang ciap (retweet) sebanyak 1,819 dan perhimpunan itu kemudian telah berlangsung pada 17 Julai 2021. Ajakan perhimpunan tersebut seolah-olah memperlekehkan usaha petugas barisan hadapan (frontliner) dalam menjaga kesihatan rakyat ketika itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada 14 Julai 2021 seorang pegawai polis telah melayari internet dan terlihat satu ciapan di Twitter yang dimuat naik oleh OKS berserta logo bendera hitam.

Pada 17 Julai 2021, OKS telah ditangkap oleh pihak polis di Dataran Merdeka di sini kerana telah berhimpun bersama 20 individu lain, tanpa kebenaran. – KOSMO! ONLINE

POPULAR