fbpx

2,000 liter air hujan lindungi tumbuhan musim kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mike mengambil masa selama 25 tahun untuk mengubah plot tanah di belakang rumahnya menjadi ‘hutan tropika’. – BNPS

LONDON – Seorang pengumpul tumbuhan aneh di Britain menyimpan 2,000 liter air hujan bagi melindungi taman miliknya daripada kesan buruk kemarau, lapor akhbar Metro UK semalam.

Mike Clifford yang berasal dari Dorset, mengambil masa selama 25 tahun untuk mengubah plot tanah sepanjang 19.8 meter di belakang rumahnya menjadi ‘hutan tropika’.

Taman itu menempatkan pelbagai spesies tumbuhan berasal dari Amerika Selatan dan Afrika Tengah dan China.

Namun, ekoran peraturan terbaharu di Britain yang melarang penggunaan hos paip untuk menyiram tanaman, Mike terpaksa menyimpan air hujan dalam kuantiti yang banyak.

Namun, usahanya itu mungkin tidak mencukupi  kerana sebilangan tumbuhan di tamannya yang hidup di habitat iklim panas dan lembap,   menjadi layu disebabkan kekurangan air.

“Cuaca panas  menjejaskan setiap spesies tumbuhan dengan cara berbeza. Contohnya, banyak tumbuhan seperti halia berbunga lebih awal.

“Namun, tumbuhan berdaun besar tidak suka kepada keadaan panas yang menyebabkannya menjadi layu. Anda boleh melihat keadaan itu berlaku pada waktu tengah hari.

“Larangan penggunaan hos paip amat membimbangkan saya namun, penghujung musim panas akan tiba tidak lama lagi. Selagi tumbuhan itu boleh hidup sehingga September ini, saya sudah gembira,” kata Mike.

Mike dan isterinya, Tina, mendapat inspirasi untuk menanam pelbagai jenis tumbuhan selepas menonton sebuah rancangan televisyen mengenai topik tersebut dalam tahun 1990-an.

Sejak itu, pasangan tersebut menanam ribuan spesies daripada pelbagai biji benih. Antara spesies yang ditanam adalah dandelion gergasi dari Kepulauan Canary dan Pararistolochia goldieana, tumbuhan dari Afrika tengah yang hanya berbunga sekali di Eropah. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI