ANUAR ZAIN dan Ziana Zain kenal sebagai adik beradik legenda yang tiada galang ganti.

Malam epik Ziana, Anuar Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM Sabtu lalu melakar satu sejarah yang pasti tidak akan dilupakan buat peminat dan penyanyi adik-beradik popular, Anuar dan Ziana Zain.

Hampir setengah dekad merancang, hasrat peminat kesayangan yang mahu melihat mereka ‘disatukan’, akhirnya semuanya terlaksana malam hujung minggu lalu.

Konsert yang diberi nama Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur itu berjalan dengan penuh lancar selama hampir tiga jam berlangsung.

Membuka tirai sekitar pukul 8.50 malam, seluruh isi dewan bergema dengan bunyi tepukan dan sorakan saat dua figura hebat itu melangkah masuk ke pentas utama.

Membangkitkan adrenalin penonton menerusi dua lagu rancak iaitu Sangkar Cinta dan Bila Resah yang dibawa secara medley, Anuar dan Ziana dilihat begitu bertenaga memulakan persembahan.

KEMANTAPAN vokal dua beradik ‘legenda’ ini tidak dapat disangkal lagi. Mereja membawakan lebih 20 buah lagu bernada tinggi malam Sabtu lalu.

Derai air mata

Dewan Plenary yang dipenuhi seramai 2,800 tetamu malam itu tiba-tiba bertukar suasana saat Ziana mula menyingkap selingkar kisah lampau.

Menyorot kembali 40 tahun kembaranya sebagai penyanyi selain pesanan kedua-dua ibu bapanya sebagai panduan bergelar anak seni, Ziana mengakui tidak dapat menahan sebak lantas menitiskan air mata.

“Emak sering menasihatkan saya tidak mudah lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata.

“Apa yang dikurniakan hari ini, semuanya milik Allah dan bukan milik kita,” ungkap Ziana sambil ditenangkan Anuar yang turut menahan sugul.

Tidak setakat Ziana, sekali lagi dewan menjadi saksi tumpahnya air mata seorang peminat wanita Anuar saat bertentang mata dan didakap erat idolanya itu buat kali pertama.

ANUAR dan Ziana menyifatkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi peminat setia menjadi tulang belakang kejayaan apa juga konsert melibatkan mereka.

Sokongan, terharu

Mengakui konsert berskala mega kali ini tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan peminat, Anuar, 52, dan Ziana, 54, memanjat kesyukuran selain tidak henti-henti berterima kasih kepada semua yang hadir pada malam berkenaan.

“Anda boleh pergi ke mana-mana malam ini (malam persembahan), tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif buat kami.

“Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua setelah hampir empat dekad dalam industri,” katanya dalam nada sebak mengenangkan sambutan tidak berbelah bahagi yang diterima daripada peminat.

Begitu juga dengan Ziana, ibu tunggal itu menyifatkan doa peminat untuk melihat dia dan adik kandungnya disatukan dalam satu pentas akhirnya terlaksana setelah bertahun-tahun merancang.

“Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura.

“Jujur saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert yang entah bagaimana jalannya,” ujarnya bersulam ketawa.

KALI terakhir bersatu dalam sebuah konsert di Singapura 12 tahun lalu, impian peminat di Malaysia untuk menyaksikan paduan Anuar dan Ziana tercapai menerusi konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Persiapan menuju ke Singapura

Saat persembahan hampir melabuhkan tirai, Anuar dan Ziana sekali lagi mengejutkan peminat dengan pengumuman bakal muncul sekali lagi menerusi konsert sama di Singapura pada 24 September depan.

Sama sahaja seperti persiapan yang dilakukan sebelum konsert di Kuala Lumpur sebelum ini, Ziana berkata, penjagaan kesihatan amat dititikberatkan bagi mengekalkan stamina ketika berada di atas pentas.

“Saya banyak lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki sekitar enam kilometer setiap hari.

“Syukur sekarang saya sudah kurus dan tahap kesihatan juga sudah semakin baik. Apa yang saya lakukan sebelum ini (bariatrik) untuk tujuan kesihatan dan karier.

“Syukur sekarang saya dapat mengawal pernafasan dengan baik dan mampu menyanyikan lagu nada tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan lagu di Singapura nanti, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu berkata, keputusan dibuat berdasarkan perbincangan antara kedua-dua belah pihak termasuk mempertimbangkan permintaan daripada peminat.

“Masa persembahan agak terhad memandangkan kedua-dua kami membuat persembahan di pentas sama.

“Untuk persembahan akan datang, mungkin kami akan mempertimbangkan 50 peratus lagu permintaan peminat, manakala bakinya kami dan tim pengurusan sendiri yang buat pilihan,” ujarnya menutup bicara.

Foto
IHSAN TRUMPET INTERNATIONAL SDN BHD
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN