fbpx

SPRM saran Pegawai Integriti Bertauliah dikekalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad bergambar bersama peserta latihan khusus Pegawai Integriti Bertauliah selepas merasmikan penutupan Majlis Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Putrajaya, hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan agar semua Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) tidak dipindahkan daripada tempat kerja masing-masing.

Saranan tersebut disuarakan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Idris Zaharuddin bagi memastikan pembudayaan integriti dapat diserap kepada rakan dalam organisasi.

“Saya mencadangkan supaya CeIO ini dikekal di agensi atau jabatan mereka untuk selama tempoh dua tahun bagi mengaplikasikan ilmu dipelajari kepada petugas lain,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan Perasmian Penutupan Program CeIO Siri 31 Bilangan 3 yang melibatkan 57 peserta dari pelbagai perjawatan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Acara tersebut disempurnakan sendiri oleh Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin dan turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.

CeIO diwujudkan SPRM bagi memberi latihan pengawalseliaan sistematik untuk pegawai awam dan swasta di seluruh negara sejak 2009 dan peserta didedahkan dengan pelbagai modul berkaitan pengurusan integriti, perundangan, pematuhan, pemantauan dan risiko rasuah selain pembelajaran luar kelas serta seminar.

Sehingga kini, SPRM berjaya melahirkan seramai 2,032 individu yang ditauliahkan sebagai CeIO dengan 1,328 orang daripadanya merupakan penjawat awam daripada pelbagai agensi.

Dalam pada itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada KPM kerana muncul sebagai kementerian pertama menganjurkan program itu dan setakat ini seramai 647 pegawai kerajaan akan lengkap ditauliahkan pada Oktober depan termasuk 316 orang yang dilatih sepanjang 2022.

Justeru, beliau mengharapkan supaya kementerian-kementerian lain dapat mengikut contoh KPM bagi memperkukuhkan budaya integriti dalam pentadbiran awam.

Beliau turut memuji kementerian tersebut kerana berjaya melaksanakan 100 peratus kesemua lima inisiatif yang dipertanggungjawabkan menerusi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Ia ujar beliau, ternyata mampu memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui pengukuhan nilai yang diharapkan dapat dihayati lebih 416,366 guru dan lebih lima juta murid.

Tambahan pula katanya, kementerian itu antara yang memperoleh peruntukan tertinggi setiap tahun dalam bajet negara dan menerima penarafan tinggi untuk tahap risiko korupsi awam.

Sehubungan itu tegas Idris, pengurusan ekosistem dan tadbir urus yang baik adalah penting tanpa berlaku sebarang ketirisan sehingga boleh menjejaskan sistem pendidikan nasional.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI