fbpx

Mahkamah : Kontraktor nafi tipu jual beli kereta, selesaikan masalah muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tai Wei didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini atas tiga pertuduhan memperdayakan mangsa melibatkan penjualan kereta dan menyelesaikan masalah muflis. - /FOTO MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

ALOR GAJAH – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan penipuan pembelian kenderaan dan menyelesaikan masalah muflis.

Tertuduh, Ng Tai Wei, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah memperdayakan dua lelaki bagi pembelian kenderaan model Toyota Vellfire dan Honda HR-V yang tidak wujud dan mendorong kedua-duanya memindahkan wang deposit berjumlah RM10,000 dan RM2,000 ke dalam akaunnya.

Kesalahan itu dilakukan dalam daerah Alor Gajah pada 26 dan 27 Julai 2022.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang wanita yang mendorong mangsa membuat pembayaran berjumlah RM28,090.50 ke dalam akaunnya bagi menyelesaikan masalah muflis dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Sungai Indah dalam daerah Alor Gajah pada 1 Februari hingga 5 Oktober 2018.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan berjumlah RM65,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 September depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI