fbpx
Gambar hiasan

Liga M bukan cap ayam, ada kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA 2022 baharu saja melepasi separuh perjalanan, ia sudah pun menghadirkan pelbagai cerita indah buat bola sepak negara.

Bermula dengan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL), warna-warni bola sepak negara diteruskan lagi dengan berakhirnya penantian 42 tahun Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Pencapaian Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mara ke pusingan kalah mati Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga menjadi pelengkap kepada cerita gemilang bola sepak Malaysia.

Rentetan itu, jenama Liga Malaysia (Liga M) juga turut menerima tempiasnya hingga menyaksikan pertandingan itu muncul liga terbaik di Asia Tenggara mengatasi Vietnam dan Thailand.

Daripada kemas kini di laman FootyRankings menyaksikan Liga M mengumpul 45.510 mata, mendahului Vietnam (43.905), Thailand (36.588), Singapura (20.429), Indonesia (13.012), Fi­lipina (12.542), Kemboja (5.012), Myanmar (2.612) dan Laos (0.544).

Catatan mata itu juga membolehkan Malaysia menghuni ranking kesembilan dalam senarai penuh negara Asia.

Malam ini ceritanya mungkin akan bertambah menarik jika KDA FC mampu mengalahkan PSM Makassar di Stadium ­Kapten I Wayan Dipta, manakala malam esok KL City akan turun bertemu Viettel FC di Stadium San Van Dong Thong Nhat.

JDT pula akan tampil di pu­singan 16 terbaik pada 19 Ogos ini bertemu satu lagi gergasi Jepun yang juga bekas juara ACL dua kali, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama.

Terbaharu, pelantikan bekas pengendali Bawah 23 Tahun negara, Brad Maloney sebagai Ketua Jurulatih Bawah 17 Tahun (B-17) Australia bagi membantu negara itu layak ke Piala dunia B-17 2023 menjadi bukti kukuh yang industri bola sepak di Malaysia sentiasa menjadi perhatian ramai.

Walaupun gagal menghadirkan kejayaan buat skuad muda Malaysia, pelantikan ini secara tidak langsung beri isyarat jelas jurulatih yang pernah berkhidmat di Malaysia bukanlah berstatus kelas kedua atau ‘cap ayam’.

Bagi meneruskan kesinambungan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan transformasi besar terhadap Liga M dengan menyaksikan Liga Super menjadi satu-satunya pertandingan utama.

Memandangkan kesemua rakan kongsi sudah pun menyatakan persetujuan secara sebulat suara, tiada guna lagi untuk ­terus ‘cakap belakang’.

Jika cerita hebat ini dicipta oleh skuad kebangsaan dan kelab terpilih yang sedang beraksi di pertandingan Asia, kini peluang sudah terbuka luas buat semua pasukan domestik untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Ia satu langkah berani dan proaktif daripada MFL bagi me­ningkatkan mutu bola sepak serta menjadikan perjalanan liga lebih menarik.

“Dengan perubahan dan lonjakan populariti ini, ia juga pasti akan beri banyak faedah kepada setiap pasukan.

“Apabila ada lebih banyak perlawanan, ia juga mungkin akan menarik minat negara luar khususnya di rantau Asia Tenggara untuk membeli hak penyiaran,” kata Penolong jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin.

Apa yang diperkatakan Sulaiman ada benarnya memandangkan dalam Manual Liga M 2022 turut memperuntukkan satu kuota pemain import dari negara Asia Tenggara.

Bermula musim depan, Liga Super akan membabitkan 18 ­pasukan sebelum dikurangkan kepada 16 pasukan pada 2024, malah kelab juga dibenarkan mendaftar sehingga sembilan pemain import.

Pengendali Negeri Sembilan, K. Devan pula yakin ada petanda positif dan mengalu-alukan penambahan perlawanan.

“Sekarang ia bergantung kepada pengendali untuk me­nyiapkan pasukan mengikut status kewangan dimiliki,” katanya.

POPULAR