fbpx

KPM tegaskan pemansuhan UPSR adalah muktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Majlis Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Putrajaya, hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah muktamad meskipun ada desakan yang mahu ia dikembalikan.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah tersebut adalah demi untuk memastikan fokus murid peringkat sekolah rendah tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Bahkan sebelum dimansuhkan, pihak kementerian ini sudah pun beri penjelasan berkali-kali kepada guru selain menerusi sesi libat urus dengan masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah Siri 31 Bilangan 3 melibatkan 57 peserta dari pelbagai jabatan di kementerian tersebut di sini hari ini.

Acara itu turut disaksikan oleh Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Idris Zaharuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut agar UPSR dihidupkan semula kerana banyak kelemahan dalam kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kaedah baharu sebenarnya lebih inklusif selain amat holistik dan bukan lagi dinilai berdasarkan hasil gred keputusan peperiksaan semata-mata.

“PBD bukan bersifat eksklusif kerana kementerian mahu melahirkan modal insan yang tidak cemerlang akademik sahaja sehingga hanya tumpu belajar untuk lulus peperiksaan,” katanya.

Tambahan pula, kaedah itu yang merupakan sebahagian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah pun dibuat secara berperingkat sejak 2011 selaras Falsafah Pendidikan Negara.

Justeru, beliau yakin, sistem penilaian baharu adalah lebih bersifat menyeluruh dan bukan lagi mentaksir sifat kejayaan murid diukur dengan jumlah A yang diperoleh ketika ujian bertulis.

Langkah pemansuhan UPSR ujarnya, bukan dibuat terburu-buru dan pihak kementerian turut menerima maklum balas banyak pihak berkepentingan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan, pihak kementerian bersedia melakukan sebarang penambahbaikan untuk memastikan segala aspek kelemahan dalam PBD sentiasa diperbaiki.

“Insya-Allah, matlamat kita adalah jelas mahu melahirkan modal insan terbaik bagi persediaan menuju status negara maju dan tidak lagi belajar kerana tekanan peperiksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI