fbpx
Gambar hiasan.

GDL untuk p-hailing bebankan komuniti berkenaan – Kamaruddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mewajibkan penunggang p-hailing mengambil lesen vokasional (GDL) dilihat akan membebankan komuniti berkenaan.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamaruddin Hussain berkata, beliau melihat usaha itu hanya terarah kepada penjanaan kewangan hasil bayaran GDL sahaja.

Beliau berkata, niat baik MOT untuk memberi kursus keselamatan kepada komuniti p-hailing sebenarnya boleh dilaksanakan dengan cara lain dan bukan dengan mewajibkan GDL.

“Kami melihat ketetapan tersebut akan membebankan lagi komuniti p-hailing malah tidak mustahil ia untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat pengendali p-hailing (EHO) sahaja.

“Kami tidak mahu situasi sama berlaku ke atas komuniti e-hailing di mana lesen tersebut kini boleh disifatkan sebagai tidak ada kualiti dan hanya untuk menyumbang kepada keberhasilan negara,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beliau menyambut baik usaha Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk mengadakan dialog bersama komuniti p-hailing semalam bagi merungkai masalah yang membelenggu komuniti itu susulan protes pada 5 Ogos lalu.

Namun, Kamaruddin berkata, sidang akhbar oleh Ka Siong semalam langsung tidak memberi sebarang jawapan atau jalan penyelesaian jangka pendek terhadap isu dan tuntutan komuniti berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menaruh harapan supaya MOT dapat mengawal selia pengendali EHO yang selama ini menindas komuniti berkenaan.

“Kami tidak mahu perkara yang berlaku di dalam sektor e-hailing ketika ini bakal berlaku di dalam sektor p-hailing kelak,” katanya.

Ujar beliau, MOT perlu belajar dari kesilapan bahawa ketetapan yang pernah dibuat dahulu bukan sahaja gagal menaik taraf industri perkhidmatan awam sebaliknya lebih malang pemain industri ditindas syarikat kapitalis.

Semalam, MOT mencadangkan supaya setiap penunggang p-hailing wajib mengambil GDL sebagai salah satu usaha untuk mengawal selia industri berkenaan.

Cadangan itu adalah antara pindaan kepada tiga akta sedia ada yang bakal dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang. – KOSMO! ONLINE

POPULAR