fbpx

Pearly-Thinaah sumbang emas ketujuh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pearly Tan-M.Thinaah menampilkan aksi sempurna ketika menewaskan beregu England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre (NEC) sebentar tadi.- kredit Twitter Commonwealth Sports.

KUALA LUMPUR – Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila mudah menewaskan wakil tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di National Exhibition Centre (NEC) itu, Pearly-Thinaah langsung tidak memberikan peluang buat gandingan England tersebut selepas mencatat kemenangan 21-5, 21-8 dalam tempoh 33 minit.

Lebih manis, kemenangan itu turut memastikan Malaysia mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia menerusi gandingan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo.

Turun sebagai beregu pilihan, gandingan yang berada pada ranking ke-11 dunia itu bermula garang di set pertama apabila melakukan asakan demi asakan sehingga mampu menjarakkan diri begitu jauh sebelum menang 21-5.

Tersentak dengan kekalahan mudah di set pertama, Birch-Smith tampil dengan aksi lebih kemas dalam set kedua, namun masih belum mampu untuk menangani kehebatan Pearly-Thinaah apabila ketinggalan 5-11.

Sedar dengan situasi lawan yang semakin tertekan beraksi di hadapan penyokong sendiri, Pearly-Thinaah langsung tidak mengendurkan asakan, sebaliknya terus melancarkan serangan bertali arus untuk selesa mendahului 15-6.

Meskipun jauh ketinggalan, gandingan tuan rumah langsung tidak berputus asa untuk merapatkan kedudukan, namun ia masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Pearly-Thinaah yang memastikan pingat emas menjadi milik mereka apabila menang 21-8.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI