fbpx

Jepun peringati kemusnahan Hiroshima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bandar Hiroshima yang musnah selepas letupan bom atom pada 6 Ogos 1945. - Getty Images

TOKYO – Penduduk Jepun bertafakur seketika sempena ulang tahun peringatan  ke-77 peristiwa hitam Amerika Syarikat(AS) menggugurkan bom atom di bandar Hiroshima, lapor agensi berita United press International (UPI) kelmarin.

Tragedi yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua itu membunuh sekitar 140,000 rakyat Jepun.

Wakil dari 99 negara dan Kesatuan Eropah (EU) turut menghadiri majlis tahunan tersebut di Peace Memorial Park, di mana orang ramai berkumpul dan bertafakur pada pukul 8.15 pagi (waktu tempatan), detik apabila bom atom pertama  AS meletup. Peristiwa hitam itu berlaku  pada 6 Ogos 1945.

Tiga hari kemudian, bom atom kedua membunuh 70,000 orang lagi di Nagasaki.

Dalam ucapan beliau, Datuk Bandar Hiroshima, Kazumi Matsui menyeru pemimpin-pemimpin  dunia agar tidak menyokong apa sahaja berkaitan senjata nuklear.

“Kita mesti segera menjadikan semua butang nuklear tidak lagi bermakna.

“Menerima status quo sedia ada  dan meninggalkan idea bahawa keamanan adalah berkekalan  tanpa penggunaan tentera merupakan ancaman kepada kelangsungan hidup umat manusia,” kata Matsui.

Beliau menjemput pemimpin-pemimpin  dunia  melawat Hiroshima atau Nagasaki untuk melihat sendiri kesan buruk akibat penggunaan senjata nuklear.

“Saya mahu mereka memahami bahawa satu-satunya cara yang pasti untuk melindungi nyawa dan harta benda rakyat mereka adalah dengan menghapuskan senjata nuklear,” tegasnya.

Ketika dunia diselubungi krisis Russia-Ukraine, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  António Guterres memberi amaran bahawa perlumbaan senjata baharu menjadi semakin pantas.

Oleh sebab itu, negara-negara kuasa  nuklear mesti komited untuk tidak menjadi yang pertama menggunakan senjata mereka.

“Adalah tidak boleh diterima sama sekali bagi negara-negara  yang memiliki senjata nuklear mengakui perang nuklear mungkin berlaku.

“Keluarkan senjata nuklear daripada  pilihan buat selama-lamanya. Sudah tiba masanya untuk kita menyebarkan keamanan,” ujar Guterres. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI