LUMUT – Segelintir nelayan yang menggunakan bubu naga di perairan Pantai Remis di sini tidak pernah serik dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Maritim Malaysia (APMM).
Menurut sumber, ada dalam kalangan mereka akan kembali beroperasi sehari selepas dikenakan denda mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
“Bagaimanapun, selepas didapati bersalah dan didenda ribuan ringgit, esoknya mereka akan kembali ke laut dengan bubu naga baharu.
“Ini kerana, pendapatan yang diperoleh mereka adakalanya melebihi nilai denda itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sumber itu memberitahu, disebabkan itulah golongan terbabit tidak takut untuk menggunakan bubu naga kerana kesalahan menggunakannya boleh ‘dibayar’ sahaja.
Selain itu, katanya, mana-mana nelayan yang melaporkan salah laku tersebut kepada pihak berkuasa akan dipulaukan oleh komuniti nelayan yang menggunakan bubu naga tersebut.
“Itulah dilemanya nelayan di sini, apabila kita laporkan kepada pihak berkuasa, kita pula akan dipulaukan. Tak tahulah macam mana nelayan-nelayan terbabit tahu kita buat laporan kepada pihak berkuasa.
“Akhirnya keadaan tidak berubah dan pengguna bubu naga akan terus meraih keuntungan lumayan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














