fbpx
Seorang lelaki sedang duduk di atas pagar Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu selepas cuba terjun ke dalam Sungai Kelantan malam tadi. FOTO MEDIA SOSIAL

Batal niat terjun jambatan lepas terkenang isteri mengandung, anak kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang lelaki melupakan niat untuk terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini malam tadi selepas dipujuk oleh anggota bomba yang menyuruhnya memikirkan nasib isteri yang sedang mengandung dan seorang anak yang masih kecil sekiranya dia sudah tiada.

Lelaki yang berusia 27 tahun itu dipercayai berada di atas pagar jambatan tersebut bermula pukul 8 malam selepas dipercayai mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelemat Darulnaim, Tengku Marzuki Tuan Mat berkata, orang awam yang melihat tindakan lelaki itu tidak jauh dari lokasi kereta jenis Perodua Myvi dipandunya telah menghubungi pihak bomba dan polis.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, beliau sendiri cuba memujuk dan menghampiri lelaki terbabit, namun mangsa bertindak agresif ketika tangannya dipegang.

“Saya merayu agar dia berfikir panjang lebih-lebih lagi mengenangkan isterinya sedang mengandung dan anaknya yang masih kecil. Saya juga memaklumkan bahawa ramai yang sudah terkorban di Sungai Kelantan akibat terjun dari jambatan ini.

“Isteri lelaki itu turut hadir dan memujuknya, namun mangsa enggan menyerah malah memaklumkan wanita tersebut berbohong. Berdasarkan situasi itu, kemungkinan mereka berdua mempunyai masalah rumah tangga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Tengku Marzuki, selepas 10 minit dipujuk, lelaki terbabit akhirnya mengalah sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Darul Naim, Ahmad Fakruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.20 malam dan bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang cuba terjun dari jambatan.

Katanya, anggota bomba menyediakan dua buah bot sebagai persediaan sekiranya mangsa terjun ke dalam Sungai Kelantan.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR