fbpx

Bakar kereta selepas menyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar detik beg sandang seorang pengurus wanita barangan dalam talian disamun di Jalan Sungai Jati, hari ini

SHAH ALAM – Sekumpulan penjenayah membakar kenderaan digunakan mereka selepas menyamun beg sandang berisi wang tunai dan rantai emas milik seorang pengurus barangan dalam talian di Jalan Sungai Jati di sini, hari ini.

Tindakan kumpulan suspek itu dipercayai selepas kenderaan jenis Perodua Myvi itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang wanita itu tiba di hadapan kedainya kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum sebuah kereta Perodua Myvi mendekatinya dengan berhenti di tepi jalan.

Katanya, seorang suspek lelaki warga tempatan telah turun dari kenderaan itu sebelum mengacukan sebilah pisau.

“Suspek juga didapati telah menarik beg sandang milik mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka. Suspek yang berjaya menarik beg sandang itu kemudiannya terus melarikan diri menggunakan kenderaan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, akibat kejadian itu telah menyebabkan mangsa kerugian RM3,000 ekoran terdapat wang tunai, rantai emas, telefon bimbit dan dokumen diri di dalam beg sandang. Namun tiada kecederaan serius dialami mangsa.

Tambah Hoong Fong, hasil siasatan mendapati terdapat lebih daripada seorang suspek kerana suspek yang mengacu pisau itu turun daripada pintu di bahagian penumpang belakang.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan. Mangsa telah menularkan kejadian samun tersebut dalam laman Facebook sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Jelas beliau, polis kemudiannya menerima maklumat dari orang awam kira-kira pukul 10.55 pagi menyatakan terdapat sebuah kereta yang terbakar di kawasan Taman Sentosa sebelum berjaya dipadamkan pihak bomba.

“Hasil semakan lanjut mendapati kereta itu adalah kenderaan sama digunakan suspek untuk samun mangsa. Semakan nombor casis dan enjin kereta itu mendapati kereta tersebut telah dilaporkan hilang pada 14 Julai lalu,” ujarnya.

Hoong Fong memberitahu, suspek telah melarikan bersama barangan yang dicuri dan usaha dipergiatkan dalam mengesan mereka yang terlibat dalam kes itu.

“Kenderaan tersebut telah ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah ini dan hasil pemeriksaan forensik dalam kereta menemui beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Terdahulu, tular rakaman CCTV berdurasi 26 saat memaparkan detik kejadian tersebut dengan mangsa didapati diheret ketika cuba mempertahankan beg sandangnya.- KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI