Seni pembuatan arca menggunakan jerami menjadi salah satu platform interpretasi seni unik yang membawa pelbagai makna dalam pelbagai aspek kehidupan.
Justeru, tidak hairanlah barisan pameran arca jerami yang menghiasi sepanjang laluan Kampung Terus, Penanti, Seberang Perai, Pulau Pinang itu berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Begitulah kemeriahan yang dapat disaksikan pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang berlangsung di kampung tersebut baru-baru ini.
Cuaca panas nampaknya tidak menjadi penghalang kepada para pengunjung untuk menyaksikannya.
Setibanya di pintu gerbang, para pengunjung disajikan pelbagai arca jerami berbentuk rumah tradisional, ayam, kerbau dan seni abstrak yang membawa pelbagai maksud tersirat.
Biarpun ini merupakan penganjuran kali keempat pesta arca jerami anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang, namun kali ini dianggap lebih besar dengan penyertaan peserta-peserta dari Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan berbanding sebelum ini cuma melibatkan penyertaan masyarakat tempatan.
Bagi pengunjung warga Perancis, Remi Saunier, 29, arca jerami yang dipamerkan amat menarik dan unik.

Dia yang menetap di Georgetown berkata, inilah kali pertama dia melihat kraf yang begitu teliti dan halus.
“Sebenarnya di Perancis ada juga aktiviti kebudayaan dan kraf tangan tetapi pameran ini amat berbeza kerana menonjolkan ciri-ciri tradisional di samping menikmati keindahan Kampung Terus.
“Saya dan rakan mengetahui pameran ini menerusi Facebook dan sudah semestinya kami tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya. Pertama kali kami dapat melihat arca jerami gergasi dan diharapkan pameran sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang datang bersama rakannya, Candice Coudurier.
Pada pesta tersebut, seramai 17 peserta mempertaruhkan kreativiti masing-masing dengan menyertai pertandingan arca jerami.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Reka bentuk Seni bina Universi Putra Malaysia (UPM), Dr. Noor Azizi Mohd. Ali, pembuatan arca jerami bukanlah mudah, malah memerlukan ketelitian berikutan prosesnya yang rumit.
Noor Azizi berkata, beliau dan 31 mahasiswa termasuk kakitangan universiti itu teruja menyertai pertandingan itu.
Lebih manis lagi, karya bertemakan peribahasa ‘Ada Padi Masak, Adalah Pipit’ memenangi Anugerah Khas Exco sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Katanya, peribahasa itu membawa maksud di mana ada peluang rezeki, di situlah khalayak akan berkumpul.
“Tema kali ini dipilih bertepatan suasana pandemik yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, apatah lagi Malaysia turut sama terkesan ekoran penularan wabak terbabit.
“Ramai diberhentikan kerja, manakala ada juga mahasiswa yang tidak mampu untuk sambung belajar dan kita intepretasikan situasi ini dengan jerami yang dibina secara terkepung dan menegak.
“Jerami yang dianyam untuk mengepung padi membawa erti mengelakkan rezeki daripada terlepas keluar dan kita susun secara rawak untuk membentuk ruang kecil yang menjadi kontemplasi ketidaktentuan masa depan yang terlibat secara tak langsung,” ujarnya.

Tambahnya, burung pipit yang diletakkan di bahagian atas melambangkan pemimpin dalam usaha membantu rakyat untuk keluar daripada kemelut yang berlaku.
“Kita mahu orang ramai yang menghayati karya ini terkesan dengan apa yang cuba kami sampaikan,” katanya yang memberitahu arca itu disiapkan dalam tempoh tiga hari.
Pasukan O Sculpture Studio dari Pulau Pinang pula menampilkan arca jerami ‘Anak Sawah’ yang memaparkan seekor kerbau ditunggangi seorang kanak-kanak berjaya meraih Anugerah Gangsa.
Ketua pasukan, Low Chee Peng, 47, berkata, sebanyak 1,000 kilogram (kg) jerami padi digunakan untuk menghasilkan arca setinggi 4.8 meter (m) dan sepanjang 10.7m itu.
“Dengan kekuatan lima anggota pasukan, kami bekerja selama 12 jam sehari selama sebulan untuk menghasilkan karya ini. Kerbau melambangkan budaya bertani pada masa lampau dan tanah memberi erti akan kehidupan yang dilalui petani.
“Anak-anak yang menunggang kerbau bercerita tentang warisan dan kasih sayang keluarga sekali gus bersyukur dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini,” katanya.

Pasukan SQ Impression yang ahli-ahlinya anak jati Kampung Terus turut memenangi Anugerah Perak menerusi karya ‘Jelapang Padi Kampung Terus Penanti’.
Ketua pasukan, Baharuddin Abdullah, 49, berkata, konsep yang diketengahkan sinonim dengan kehidupan penduduk kampung yang mencari rezeki melalui bersawah.
“Proses mengusaha padi dibuat secara manual dengan membajak, menanam sehinggalah menuai.
“Selain itu, kami mahu mengetengahkan isu sekuriti makanan negara yang sedang dilalui termasuklah kenaikan harga barang dan sebagainya.
“Dulu-dulu pun, orang kita memang menyimpan stok padi yang siap dipukul dan diurai sebagai persediaan berdepan musim kemarau sekali gus mengurangkan risiko terputus bekalan makanan,” terangnya.














