Mungkin ramai kaki pancing khususnya peminat udang galah masih tercari-cari lokasi sesuai untuk mendapatkan tangkapan yang lumayan, selain bersaiz besar.
Kaki pancing yang tinggal di sekitar negeri Johor, Melaka atau Negeri Sembilan boleh datang mencuba nasib merasai kenikmatan tarikan sepit biru ini di Sungai Kahang, Kluang.
Sungai Kahang sepanjang kira-kira 15 kilometer menjadi tumpuan sebagai tempat memancing kerana dipenuhi udang tanpa kaki pancing perlu memilih lubuk-lubuk tertentu.
Malah, ada pemancing yang sekadar mengikat sampan dinaiki di bawah pokok terjuntai di sepanjang sungai mampu membawa pulang tangkapan sekurang-kurangnya dua kilogram seorang.
Pun begitu, beberapa lubuk yang hangat sebagai tumpuan kaki pancing adalah Lubuk Batu 17, Lubuk Pungkur, Lubuk Mati Anak dan Lubuk Besar selain lubuk-lubuk kecil yang tidak diberikan nama khas oleh pemancing.
Memancing di Sungai Kahang juga mudah kerana terdapat beberapa pangkalan yang diusahakan penduduk setempat seperti Pangkalan Batu 17, Pangkalan Lubuk Pungkur, Pangkalan Jarut, Pangkalan Kolin serta Pangkalan Tanah Abang.
Pemancing juga boleh memancing dalam tempoh lama dengan bermalam di lebih 10 buah rumah rakit yang dibina oleh penduduk serta kelab di sepanjang sungai ini, selain beberapa pondok di tepi sungai sebagai tempat berehat.
Namun, perkara utama yang perlu diambil kira oleh pemancing adalah jenis umpan serta saiz mata kail digunakan.

WAJAH ceria seorang pemancing sepit biru yang mendapat hasil tangkapan besar.
Antara umpan yang paling digemari oleh udang galah di Sungai Kahang ini adalah ruat, anak udang selain cacing tanah, manakala kebanyakan
pemancing menggunakan saiz mata kail nombor satu sebagai senjata utama bagi mendapatkan udang galah bersaiz besar atau bersepit biru.
Menurut pengusaha Pangkalan Lubuk Pungkur, Osman Manap, 47, setiap hari sekurang-kurangnya 10 buah bot disewa oleh pemancing dan kebiasaannya 20 buah bot yang disediakan di pengkalan miliknya akan habis disewa oleh pemancing pada setiap hujung minggu atau cuti umum.
“Ada pemancing turun memancing pada awal pagi sebelum balik ke pangkalan lewat petang dan tidak kurang juga yang datang pada sebelah petang seterusnya memancing hingga tengah malam atau pagi esoknya.
“Bagaimanapun, waktu sesuai memancing udang galah di Sungai Kahang ini adalah apabila tiada hujan lebat di hulu sungai dan ketika air pasang besar,” katanya.
Osman yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan Pangkalan Lubuk Pungkur ini turut menyarankan pemancing menyediakan umpan secukupnya jika memancing di sungai ini kerana ada yang terpaksa balik disebabkan kehabisan umpan sedangkan udang galah masih galak.
“Saya hanya mengenakan bayaran RM20 untuk sewaan bot tanpa enjin sehari, namun jika menyewa bot serta enjin harganya RM80 bagi tempoh yang sama.
“Sementara itu, untuk menyewa penginapan rumah rakit ia bergantung kepada keperluan sewaan sama ada untuk tidur sahaja atau menggunakan peralatan seperti dapur untuk memasak makanan,” katanya.
Bagi pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Khairi, 45, aktiviti memancing udang galah di Sungai Kahang boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan sampingan dan bukan hobi semata-mata.
Menurutnya, ada pemancing yang sanggup bermalam antara satu hingga dua malam hanya semata-mata untuk mendapatkan hasil yang lebih terutama mereka yang datang dari jauh seperti Melaka dan Negeri Sembilan.
“Hakikatnya, memancing di Sungai Kahang ini tidak memerlukan kemahiran yang tinggi, sebaliknya cukup dengan usaha dan rajin berpindah mencari tempat difikirkan sebagai lokasi udang galah berkumpul.
“Bagaimanapun, jika memancing pada waktu malam, kita harus membawa kelengkapan seperti lampu untuk lebih memudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Maziatum Idris, 51, yang turun memancing bersama suaminya, Ahmad Tahir Mohammed Desa, 54, memilih untuk memancing pada waktu malam di Sungai Kahang ini.
Menurutnya, selain keadaan cuaca agak sejuk, memancing pada waktu malam mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat tangkapan udang galah bersaiz mega khususnya yang mempunyai sepit biru.
“Kebiasaannya kami akan terlebih dahulu turun pada waktu petang di mana ketika itu kami mengenal pasti tempat bersesuaian untuk memancing udang galah sebelum memasang tanda sebagai panduan pada waktu malam nanti.
“Ini kerana, udang galah bersaiz besar atau lebih tepat lagi yang mempunyai sepit biru akan keluar mencari makan pada waktu malam,” katanya.
Kebiasaannya pasangan suami isteri ini akan bawa pulang antara dua hingga lima kilogram setiap kali turun memancing di Sungai Kahang ini.
“Namun, ia bergantung juga kepada keadaan air sungai serta pasang surut selain umpan bersesuaian seperti anak udang atau ruat.
“Semua tangkapan akan dijual kepada mereka yang sudah awal-awal membuat tempahan, namun ada juga yang dijadikan lauk untuk dimakan bersama
keluarga,” ujarnya lagi.














