fbpx
Gambar hiasan.

Pegawai kanan polis, empat individu bebas tuduhan bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang pegawai kanan polis dan empat individu terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh tiga lelaki pada 2015.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pegawai polis, S. Selvakumar, 45, tiga beradik yang merupakan peniaga besi buruk, N. Rajasakanan, 43, N. Sureshkannah, 42, dan N. Thanabalan, 35, serta pemandu lori, R. Veeramuthu, 56.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima orang kena tuduh (OKT). Mereka dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

“Adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi utama pendakwaan dan keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan bagi penemuan mayat-mayat tersebut.

“Selain itu, tidak boleh diterima kerana pihak polis terlebih dahulu menjumpai mayat-mayat tersebut dan bukannya ditunjukkan oleh kesemua OKT,” katanya pada prosiding pendengaran keputusan kes di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa membunuh K. Thinesh, M. Tansewaran dan P. Kartisan pada pukul 6 pagi hingga 11 malam, 25 Februari 2015 di atas bukit dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Seremban-Mantin di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman mati.

Sepanjang perbicaraan bermula Januari 2020, seramai 20 saksi termasuk Pakar Patalogi dan Antropologi Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja’afar dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam kes itu, Selvakumar diwakili peguam, Datuk KL Chee, Sureshkannah dan Thanabalan diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris, manakala Veeramuthu dan Rajasakanan pula diwakili peguam, Paul Krihsnaraja dan Amy Chong. – KOSMO! ONLINE

POPULAR