fbpx

Artis meriahkan Pameran Semarak UNITI KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON popular Zara Zya dan Fattah Amin antara artis yang memeriahkan Pameran Semarak UNITI KPN bermula semalam sehingga 14 Ogos ini.

PULUHAN selebriti popular dan pesohor media sosial dijangka memeriahkan Pameran Semarak UNITI Keluarga Malaysia Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang dijadualkan berlangsung bermula semalam (4 Ogos) hingga 14 Ogos.

Membabitkan pelakon, penyanyi dan pengacara seperti Fattah Amin, Amira Othman, Fara Fauzana, Dina Nazir, Zara Zya, Angeline Tan, Kenchana Dewi, Mark Adam, Memey Suhaiza, Norman Hakim, Lan Solo, Syafiq Farhain, Bell Ngasri, Ismail Izzani, Datin Anne Ngasri, Anita Baharom, Rhys William, DJ Sonic dan Khairul Jamaen, kesemua karyawan seni terbabit berada di gerai pameran KPN untuk mempromosikan aktiviti dan pelbagai pengisian.

Penglibatan mereka menunjukkan semangat UNITI dalam kalangan karyawan seni sangat tinggi. Selain mempromosikan bakat seni, mereka juga mampu berperanan sebagai ejen perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Penampilan para artis ternama tanah air juga dapat ditonton secara langsung menerusi Facebook KPN, https://www.facebook.com/PerpaduanNegara.

Antara penampilan menarik adalah daripada Mark Adam. Penyanyi berasal dari Filipina itu akan bersama dalam sesi ramah mesra dan berkongsi pengalaman serta menceritakan mengenai keunikan masyarakat negeri Sabah kepada pengunjung yang hadir.

Selain itu, Fattah Amin yang merupakan antara pelakon utama dalam filem Mat Kilau pula berkongsi pengalaman ketika melakonkan watak Awang selain berbicara tentang aspek perpaduan dan semangat cintakan tanah air.

Selain dimeriahkan dengan kehadiran artis popular, pameran Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang diterajui Datuk Halimah Mohamed Sadique berkenaan terisi dengan pameran Projek Ekonomi KRT seperti Projek Pertanian dan Penternakan (Akuaponik), Projek Pertanian (Hidroponik dan Tanaman Pasu), Projek Pertanian (Unity Gardening Drum, UGD) dan Pameran produk keluaran KRT (Sos Cili Warisan, kerepek dan mini popia, sambal hitam, madu kelulut dan bertih jagung).

PENYANYI Mark Adam akan berkongsi tentang keunikan dan keindahan negeri Sabah kepada pengunjung yang hadir.

Terdapat juga aktiviti menarik di Rumah KAMI dengan pengisian seperti Jom Cuba (makanan, pakaian, alat muzik dan kesenian, kraf tangan dan permainan), pameran busana serta kesenian dan alat muzik.

Aktiviti Pentas Mini di gerai KPN akan membawa persembahan kebudayaan, kesenian (alat muzik), instrumen (angklung dan cak lempong), buskers dan persembahan sapelele.

Selain itu, aktiviti Sembang Kopitiam UNITI bersama pesohor media sosial yang dijemput khas juga turut diadakan dengan membincangkan topik-topik menarik. Mereka berkongsi pengalaman dan pengisian berkaitan perpaduan kepada pengunjung. Terdapat juga aktiviti Roda Perpaduan dengan hadiah-hadiah menarik yang disediakan.

KPN turut menganjurkan Pertandingan Selfie UNITI iaitu pengunjung boleh berkongsi foto atau detik-detik perpaduan mereka dan ‘tag’ Facebook KPN. Pemenang dipilih berdasarkan foto atau detik-detik perpaduan yang menarik dan jumlah tanda suka atau komen yang terbanyak akan memenangi hadiah istimewa.

Penglibatan artis ternama tanah air dalam Pameran Semarak UNITI Keluarga Malaysia KPN di MAHA 2022 akan dapat membantu mempromosi Program Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang menjadi platform integrasi sekali gus sebagai tapak mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bermula di peringkat akar umbi.

Inilah pendekatan yang ditekankan oleh KPN bagi memastikan program-program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh Keluarga Malaysia oleh semua peringkat masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI