fbpx

Pusat Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pusat Pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah yang berpusat di Kampung Jawa, Labu, Seremban ditutup berkuat kuasa semalam.

SEREMBAN – Pusat Pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa semalam.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.

“Apa yang berlaku ini, dilihat adalah kesalahan yang dibuat oleh individu yang memimpin tarekat tersebut, sama ada pengamal atau amalannya mengikut hukum syarak dan disiplin ilmu tarekat serta tasawuf atau tidak.

“Sebagaimana yang diketahui, Tarekat al-Naqsyabandiah al Khalidiyyah merupakan satu daripada tariqat yang muktabar di dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusof berkata, pada awal Julai 2022, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam Daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Jelas beliau, hasil maklumat orang ramai dan kerjasama daripada pihak polis serta Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan telah bertindak mengeluarkan notis awal pada 25 Julai 2022 berhubung cadangan untuk penutupan pusat pengamalan tarekat tersebut.

“Pihak terbabit diminta untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dikeluarkan.

“Oleh kerana tiada jawapan diterima, maka 3 Ogos 2022, satu notis penutupan pusat pengamalan Tariqat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinannya dikeluarkan bagi tempoh 6 bulan,” katanya.

Beliau berkata, tarekat tersebut telah berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.

Menurut Mohd. Yusof, tindakan proaktif menutup pusat itu diambil oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi menyekat kesalahan dalam tarekat dan pelanggaran apa-apa syarat yang telah ditetapkan.

“Selain itu, dengan adanya Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini, tarekat yang beramal di Negeri Sembilan dapat dikawal dan dipantau serta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan tindakan secara undang-undang boleh dikenakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI